Translate

Saturday, 12 October 2013

Selamat Malam Semua



Hari sudah semakin melabuhkan tirai terang. Matahari tanpa mungkir, taat mengundurkan diri bagi memberi khidmat bakti ke pelusuk lain. Mergastua yang dibekal kompas naluri berterbangan balik menuju sarang tanpa khilaf. Perlahan-lahan mega merah di kaki langit mengambil posisi, menyerlahkan lagi keindahan alam yang dicipta.
Keadaan yang terang benderang beransur kelam...yang bakal menenggelamkan ego seseorang. Seseorang yang dicipta untuk menyembah yang SATU. Seseorang yang diberi tugasan sebagai khalifah di muka bumi. Seseorang yang disandarkan amanah untuk mentadbir dunia menurut 'Transkrip Langit'.

"Apa rutin hidupku? Hari-hari berlalu serasa sama tanpa ada peningkatan ilmu-ilmu agama".

Hati mula berbisik. Sekilas menerjah imej-imej haiwan yang melata di landskap muka bumi. Rutin hidup haiwan...makan, minum, bersosial , tidur dan mengawan. Jika kedapatan masalah sesama mereka mahupun gangguan dari anasir-anasir luar, terus dilancar serangan balas tanpa sebarang kompromi. Tiada undang-undang dalam dunia haiwan, yang wujud hanya perebutan wilayah, kuasa, segalanya terletak kepada mainan nafsu dan emosi tanpa perhitungan akal.

Wajib bagi haiwan menterjemah kehidupan mereka sebegitu...kerana sememang mereka dicipta untuk rutin yang diilhamkan Penciptanya. Tiada siapa yang akan menyalahkan haiwan jika mereka merempuh pagar tanaman demi mengisi perut. Tiada siapa yang menuding jari kepada haiwan jika najisnya bersepah di sana-sini. (Tetapi manusia yang berakal pernah mengatakan lembu itu bodoh!)
Aku? Hanya mencari makan bila lapar? Minum bila dahaga? Habiskan waktu lepak di Bistro bersosial bersama teman? Berkawan dengan wanita tidak berbatas dan tak kira apa status mereka? Tidur bila letih? Menyerang balas mereka yang tidak sependapat denganku? Jadi APA BEZA AKU DAN HAIWAN?

Mega merah tampak semakin pudar...kegelapan mula bertandang. Jika tidak dicipta lampu, manakan nampak objek walau sejengkal di hadapan. Ilham itu hadir lagi...hati yang gelap mana mungkin dapat melihat kebenaran walau bukti jelas tertera di hadapan mata...al Quran dan Sunnah.

Bumi, bulan, matahari taat dalam bertawaf tanpa henti. Tidak terleka mereka dalam landasan pusingan yang telah ditetapkan. Apa jadi jika mereka engkar? Habis semuanya berlanggaran sesama sendiri...tetapi waktu perlanggaran itu tetap akan tiba, kita sahaja yang teraba-raba mencari arah.

Anak isteriku sudah lama dibuai hayunan mimpi. Entah apalah layanan mimpi mereka kali ini. Jangan pula mereka bermimpi menarilk aku ke belakang di akhirat nanti atas alasan mereka tidak mendapat panduan dariku. Aaahh...ini menyedarkan lagi aku untuk tidak meninggalkan mereka tanpa asas-asas agama.

Aku? Aku masih lagi menyepi. Sepi sendirian memikir penanggungan yang harus dijawab nanti...risau tak terjawab segala apa yang bakal dihidang di hadapan mata. Segalanya akan dipertontonkan di khalayak manusia di Padang Mahsyar...malu rasanya jika dosa yang sarat ditayang.

Aku mula bermuhasabah diri, mencari-cari beza diri dan makhluk yang tidak diberi akal. Tiada beza aku dan haiwan atau terselit di sana-sini karektor buas dalam diri. Mencipta Malaikat dalam diri atau menjemput Syaitan merajai diri. "Aahh...ini diri aku...aku yang perlu menentukannya", tonasi suaraku tidak kedengaran lagi.

Fikiranku sedikit demi sedikit mula menerawang hilang...mengantuk mula bertamu. Rasa mengantuk juga adalah nikmat Allah kepada makhluknya...terimakasih ya Allah atas nikmat tidur yang Kau anugerahkan ini. Sekiranya tidurku ini merupakan yang terakhir yang Kau pinjamkan, kupohon agar Kau terima segala amalku. Jangan kau hitung bilangan amalan itu kerana ianya tidak sepadan dengan apa yang telah Kau anugerahkan kepadaku. Sebaliknya terimalah aku dalam redhaMu. Juga ampunkan segala dosa-dosaku kerana bahang api yang kau pinjamkan sepanjang kehidupanku di dunia sudah cukup tidak tertanggung panasnya...apatah lagi bakaran nerakaMu di sana!

Keadaan semakin gelita...mataku mula terkatup rapat. Sekiranya MalaikatMU menjemputku sewaktu mimpi bertandang, tentu tiada kaum keluargaku yang menyedarinya. Entah siapalah yang akan mengajarku kalimah LAA ILAA HA ILLALLAAH sewaktu nazakku! Aku hanya berserah atas amalanku yang tak seberapa.

SELAMAT MALAM SEMUA...andai ini malam terakhir, kupohon maaf dari kalian semua...kerana itu syarat yang diberi oleh haruman syurga untuk menghampirinya.

Aku ingin ke syurga bukan kerana aku amat kepingin dan terpesona dengan kehebatannya (walau rasa itu ada) tetapi kerana gentar dan tidak sanggup untukku walau berada di pintu neraka.

Bunyian cengkerik mengiringi lenaku. SELAMAT MALAM SEMUA...

No comments:

Post a Comment