Translate

Wednesday, 18 July 2018

Waghih Den di Bukit Manggo

Travelog aku di hari ke 6 diakhiri dengan memandu destinasi kami ke Mango Hills, sebuah taman perumahan yang susun atur kediaman dan infrastrukturnya begitu teratur dan sistematik.

Isterinya adalah sepupu kepada menantuku manakala suaminya sekampung denganku...Beranang! Botomu waghih di Bukit Manggo nampak gayo eh..hahaaa.

Kehidupan mereka berdua tampak sederhana walau mendiami sebuah banglo yang selayaknya bertaraf 5 bintang. Mereka ramah dan senang dengan tetamu yang hadir. Gurauannya dalam loghat Nismilan mencerminkan peribadi beliau yang tidak lupa dengan asal-usulnya...orang kampung.

Bersama taraf pemastautin tetap (PR) yang dimiliki, beliau seorang yang berjaya dalam membina kerjaya di negara orang. Pasti banyak rahsianya. Dalam kami berborak, aku tancapkan satu persatu kata-kata beliau yang boleh memandu hidupku.

Di antara kata-kata beliau yang sempat kurakam:-

1. Be a producer, not consumer. Takkan selamanya kita hanya menggunakan produk buatan orang. Cipta produk dan imej sendiri agar orang ramai mahupun ketua, yakin dengan kemampuan kita dalam mengendalikan tugasan yang diberi.

2. Hormat dan berdisiplin. Semua orang ada kerja yang nak disiapkan. Semua orang nak datang ke tempat kerja tepat pada waktunya. Tapi itu bukan alasan untuk kita tak berdisiplin dan melanggar segala peraturan di jalanraya. Potong barisan sesuka hati, langgar lampu isyarat dan lain-lain lagi. Kita tak hormat orang lain dan pengguna jalanraya.

3. Jangan layan masalah remeh-temeh..perangai manusia tak pernah habis untuk dikupas.

4. Jangan berhenti berfikir...terutama untuk memajukan diri, keluarga dan ummah.

5. Hormati sistem. Sistem dicipta untuk memudahkan pergerakan manusia.Jika sistem itu tidak efisien, cari jalan dan cadangan untuk penambahbaikan.

6. Berdikari. Hidup jangan bergantung dengan ikhsan orang. Aku setuju! Jika di Malaysia, banyak kelebihan yang kita miliki dengan status 'Melayu'. Bersebab itulah aku hormati kejayaan yang beliau kecapi di luar negara kerana tiada apa-apa keistimewaan yang beliau perolehi untuk sampai ke tahap sekarang. Semuanya bersaing sengit.

Apabila tiba masa, beliau bercita-cita untuk menamatkan karier dan kembali ke tanahair bagi menabur bakti kepada anak bangsa dengan menubuh sebuah institut (atau yang setara dengannya). Memotivasikan pelajar dan berkongsi pengalaman agar anak bangsa terus maju membina kerjaya walau di mana mereka berada.

Itulah kriteria orang yang berjaya..menempuh payah. Tiba waktunya, mereka mencari jalan menabur bakti kepada yang lain.

Terimakasih abang Baharin...terimakasih Zila. Dua hari bersama, meletak aku di posisi yang amat mengujakan. Kalian wajar dijadikan contoh...anak Malaysia di perantauan yang berjaya dan tidak hilang keMelayuan dan keIslamannya. Ya...'Tidak Melayu Hilang di Dunia', seperti yang diungkap Pahlawan Melayu Hang Tuah.

Ucapan terimakasih itu kuabadikan di sini dan akan kekal di sini selamanya!

Mango Hills, Queensland 5 Julai 2018


Sunday, 15 July 2018

Travelog Merentas Timur Benua

30.06.2018 / Sabtu - Sesampai kami di lapangan terbang Gold Coast, kami bersiar dan berpiknik di pantai berhampiran..Point Danger. Anak menantu siap menyediakan jamuan tengahari untuk kami nikmati bersama deruan angin dan panorama yang memikat.







Dalam perjalanan menuju ke kediaman, kami singgah di sebuah kedai topi 'Hats by the Hundred'. Pelbagai jenama dan rekabentuk topi dipamer. Menantuku melepas hajat seseorang yang mengirim jenis tali topi yang original.



 

Hampir sampai ke rumah, kami singgah ke sebuah masjid yang tertua di Brisbane untuk melunaskan tanggungjawab yang kupasakkan status jamak dan qasar ke atasnya.




Di petangnya kami ke DFO (direct factory outlets), sebuah komplek yang menjual pelbagai barangan, pakaian dan keperluan diri. Potongan harga yang meriah membuat kami melekat lama di situ..hihiiiii



 

01.07.2018 - kami ke Rocklea Market Place, sebuah pasar terbuka yang menjual pelbagai jenis barangan. Saturday Fresh Market bersama barangan basah dan keperluan harian manakala Sunday Discovery Market mempamer keperluan dapur, aksesori telefon bimbit sehinggalah kepada berjenis tumbuhan...seperti pasar malam di Malaysia gamaknyeeee...



Singgah pula di Duong Dong Market, sebuah pasar basah dan kedai runcit juga Plaza Inala yang didominasi oleh warga Vietnam. Menurut sejarah, Inala merupakan tempat pertama pendatang Vietnam berhijrah dan membina penempatan di situ dan berlarutan hingga ke generasi sekarang.

02.07.2018 / Ahad - Kami ke bandar Brisbane memilih menaiki pengangkutan awam, menjamu mata dengan pelbagai barangan cenderamata sambil menikmati susun atur bandar yang sistematik. Basikal menjadi di antara kenderaan untuk mereka bergerak di sekitar bandar dan mereka diwajibkan memakai topi keledar. Sepanjang berada di sini, aku gagal untuk melihat mereka yang berbasikal tanpa topi keledar..sudah menjadi budaya buat mereka. 

Pergi menaiki bas, balik bersama pengangkutan feri menelusuri sepanjang sungai hingga ke lokasi kediaman...heaven!




Sebelum matahari terbenam, kami menelusuri jalan menuju ke sebuah bukit...Mt Coot-tha. Pemandangan dari atas bukit pasti tidak mengecewakan apatah lagi diiringi remang-remang cahaya merah tanda matahari mahu berundur...asyik aku memerhati senario yang indah itu.




03.07.2018 - Sehari berdiam di rumah melepas lelah..thee heee

04.07.2018 - Kami berlepas ke Pusat Konservasi Koala yang terletak 30 km dari kediaman St Lucia. Rujuk blog bertajuk 'Fauna Yang Pupus' 04 Julai 2018.

Sehabis menjarah habitat koala, destinasi yang seterusnya ke sebuah jambatan yang dinamai sebagai 'Story Bridge'. Jambatan berusia 78 tahun yang berjarak hanya 1 km tetapi menjadi aset penting bandar Brisbane yang direntasi oleh lebih 100,000 kenderaan setiap hari. Gabungan jambatan dan sungai yang bersih, melengkapi pemandangan menarik.



Destinasi seterusnya ke Kangaroo Point, taman rekreasi bersebelahan sungai yang sangat terjaga kebersihan dan fasilitinya. Aku perasan, di setiap pantai mahupun taman rekreasi, mereka menyediakan kemudahan alat bbq elektrik untuk mereka berkelah dan membawa bekalan. Yang menariknya, alat-alat tersebut penuh terjaga dan panjang hayatnya tanpa apa-apa kesan vandalisme.

Bersama bekalan yang dibawa, kami menjamu selera di tepi sungai bersambil melihat feri-feri melintas...heaven!





Kami mengakhiri hari ke 5 dengan melawat Universiy of Queensland yang mana merupakan pilihan menantuku dalam melanjutkan pengajiannya di bidang Chemical Engineering.




05.07.2018 - Pemanduan dari St Lucia ke utara Brisbane menempuh masa 45 minit. Kami singgah di Maleny Cheese untuk merasai keenakan keju buatan Australia. Kami juga berpeluang melihat proses pembuatan keju di satu sudut yang direka khas untuk dipertontonkan kepada pengunjung-pengunjung yang datang.




Cuaca semakin mencengkan tulang hitam, 12'c ditambah dengan hujan renyai-renyai menemani destinasi kami ke Mary Cairncross. Kami menikmati panorama indah di atas bukit. Suasana yang nyaman, aman, indah dan penuh damai...Subhanallah!



Baroon Pocket Dam merupakan persinggahan kami yang seterusnya. Sebuah empangan yang berketinggian 370 meter yang siap dibina pada tahun 1989, merupakan kawasan yang mempunyai purata taburan hujan tahunan yang tinggi. Empangan yang berkeluasan 72 km persegi menerima 2000 mm air hujan setahun dan apabila penuh, Tasik Baroon boleh meliputi 380 hektar dan boleh menampung 61,000 megaliter air seterusnya menjadi pembekal air utama ke perbandaran Caloundra dan Maroochy di bahagian Tenggara Queensland. Baroon Pocket Dam juga merupakan kawasan rekreasi yang menyediakan aktiviti berkayak, berkanu, belayar, berenang, memancing dan lain-lain lagi.


 

perjalanan seterusnya...

Sunday, 8 July 2018

Nostalgia di Redcliffe

Permusafiran kami belum bertitik noktah lagi. Hari keenam, kami meneruskan perjalanan ke utara Queensland..lebih tepat lagi di Redcliffe.

Apa ada di Redcliffe? Haiissyyy, menantuku rupanya awal-awal lagi sudah dapat menghidu minatku di bidang muzik. Program hari ini dirangka bagi memberi kesempatan kepadaku untuk melawat ke sebuah daerah yang amat nostalgik.

Di Redcliffe lahirnya sebuah kumpulan muzik adik-beradik yang bertahan selama 4 dekad yang mana album mereka telah terjual sebanyak 220 million (jualan album terlaris dunia) dan selayaknya bertaraf 'lagenda' hingga ke hari ini.

Bee Gees! Sebuah kumpulan yang mengimarah genre muzik pop, soul, soft rock dan disco...diabadikan kisah dan perjalanan karya seni mereka di sebuah lorong yang dinamai sebagai BEE GEES WAY. Lagu-lagu yang mengiringi perjalanan hidupku di sepanjang tahun 60an hinggalah aku meningkat remaja. Owhhh...heaven!


Kumpulan yang dianggotai oleh Barry, Robin dan Maurice Gibb ini ditubuhkan pada tahun 1958 meningkat naik di tahun 70an bersama lagu-lagu seperti Stayin' Alive, How Deep Is Your Love, Massachusetts, Night Fever, Too Much Heaven dan banyak lagi. Teringat aku, lagu-lagu mereka saban kali dimainkan di sepanjang perjalanan kami ke sekolah oleh Uncle Bus (waktu itu album lagu yang diedar sudah berbentuk katrij, berbanding sebelumnya...piring hitam).



Mereka berdarah British yang menetap di Manchester, telah berhijrah dan membesar di Redcliffe, Queensland, Australia. Album Spicks and Specks (album single ke 12) yang diedarkan pada tahun 1967 telah melonjak nama Bee Gees ke seluruh dunia. Mereka mula mengorak langkah dengan mengambil keputusan untuk kembali ke UK bagi mengembangkan lagi bakat seni mereka.



Bersama kematian Maurice pada tahun 2003, mereka mengambil keputusan untuk menamatkan perjalanan karya seni selepas 45 tahun mengecapi populariti. Lima tahun bersara, mereka kembali semula berkarya pada tahun 2009. Perginya Robin pada tahun 2012, meninggalkan hanya Barry keseorangan sehinggalah sekarang.

Hukum alam adalah makhluk Allah jua..tidak pernah mungkir dalam menjalankan tugasan. Perjalanan Bee Gees tetap berakhir...sepertimana yang bakal kita tempuhi.

Nama Bee Gees kuselitkan dengan ungkapan 'Be Prepare'...masa yang bakal menentukan akhirnya perjalanan hidup kita!

Syukran Zikri/Dalilah.

6 Julai 2018 Moreton Bay, Redcliffe, Queensland.




Fauna Yang Pupus

Cuaca pagi agak baik diiringi hembusan angin lembut, bersamanya suhu 21'c lebih menyegarkan perjalanan kami mendekati alam. Alam si fauna yang agak pemalu sifatnya...namanya Koala.



Perjalanan kami mengambil masa kurang lebih 30 minit dari St Lucia ke Koala Centre, Daisy Hill Conservation Park. Tidak sabar untukku beramah mesra dengan spesis tersebut. Memang aku teruja amat dalam mengimarah dunia fauna terutamanya bersama haiwan yang hampir pupus populasinya.

Koala tidak biasa bersosial. Banyak berdiam dan menghabiskan masa di atas pokok. Di musim mengawan, si jantan mengeluarkan bau yang unik bagi memikat betina, di waktu yang sama bau tersebut adalah amaran kepada pesaingnya. Koala jantan juga akan mengeluarkan bunyi yang kuat bagi menarik perhatian pasangannya yang boleh didengari sejauh 1 km. 

Cuba lihat di bahagian bawah badan koala, mereka dilengkapi corak putih yang berbeza sesama mereka seperti corak di badan kuda belang dan cap ibu jari manusia. Itu merupakan identiti mereka.

Koala memakan dedaun eucalyptus dan begitu cerewet dalam memilih daun-daun eucalypt. Mereka akan mencium terlebih dahulu sebelum memakannya dalam menepati selera. Percaya atau tidak, haiwan herbivor ini akan tidur selama 18-22 jam sehari untuk mengembalikan tenaga!

Bersama populasi taburan yang semakin terbantut dek kerana perburuan di sekitar tahun 1906-1927 untuk pengeluaran bulunya yang berkualiti, serangan anjing, kebakaran hutan dan kemalangan di jalanraya, jumlah haiwan mamalia ini dianggar hanya di sekitar kurang dari 45,000 ekor di Queensland, Australia (habitat asal). Ini membuatkan pihak kerajaan Australia mempergiatkan lagi program pemuliharaan koala.



Apa yang harus komuniti lakukan bagi menyokong kempen pemeliharaan koala?

Penduduk di sekitar digalak untuk menanam pokok-pokok tumbuhan di halaman dan belakang rumah juga di tepi-tepi jalan bagi memberi perlindungan dan makanan untuk koala yang sesat masuk ke kawasan perumahan.

Salah satu ancaman koala ialah anjing-anjing yang sering mencederakannya apabila terserempak. Justeru, penduduk diarah untuk tidak melepaskan anjing peliharaan begitu sahaja.

Membina pagar mesra koala agar mereka tidak terperangkap untuk melepasinya (membina pagar kayu agar senang dipanjat berbanding pagar alumunium yang licin).

Mereka yang memandu di kawasan hutan koala, harus lebih berhati-hati agar tidak terlanggar koala yang ingin menyeberangi jalan lantaran sifatnya yang tidak memandang kiri dan kanan jalan apabila ingin melintas.



Kehidupan koala diliputi stres kerana habitat mereka terancam. Mereka terpaksa berhijrah ke kawasan yang berisiko berdekatan perbandaran. Apabila keadaan tidak terurus dan stres melanda, koala mudah jatuh sakit dijangkiti bakteria 'chlamydia' yang boleh menyebabkan sakit parah dan boleh membawa maut.

Di antara simptomnya ialah matanya berwarna merah, berdiam di bahagian pokok yang rendah (tidak memanjat tinggi di atas pokok) dan punggungnya kotor bernajis.

Aahhhh...tiba-tiba aku teringat nasib tapir di negaraku, jua terancam di atas rakusnya tangan-tangan manusia menodai alam!

4 Julai 2018 Daisy Hill, Brisbane


Wednesday, 4 July 2018

NUR di Bumi Asing

Aku bermusafir lagi, bukan untuk tugasan tetapi bercuti...dengan lebih tepat lagi untuk melawat anak dan menantu yang bermukim di benua terkecil di dunia. Mereka belajar di negara orang, merantau dan menempuh payah. Dalam kepayahan itu, mereka beriya-iya menguruskan perjalanan kami dan mengimarah kami sebaik mungkin untuk melawat mereka di perantauan.

Ooh..bukan mahu bercerita misi kami di bumi asing. Aku hanya mahu berkongsi tentang sesuatu yang tidak sudi kulakukan bila berada di negara sendiri.

Tiga hari dibawa berjalan menjarah timur benua...hari ke empat, kami mengambil keputusan untuk berehat dan melepas lelah di rumah. Anak perempuanku menyuruh-nyuruh aku menonton drama bersiri NUR yang berlarutan hingga 19 episod yang telah dimuat turun dari laman sesawang oleh menantu lelakiku.

Mulanya aku acuh tak acuh. Hanya anak, menantu dan ibunya sahaja yang menjadi penonton setia. Dalam pada itu, aku terdengar skrip-skrip lakonan yang diucap...menarik dan ia mula memerangkap perhatianku.

Kisah Ustaz selebriti yang terperangkap bersama cinta di lorong maksiat. Ya betul, aku tak fikir ada Ustaz ternama dan ayahnya yang sering menjadi tetamu undangan media, sanggup merisikokan diri mereka dan keluarga dalam menyelamatkan seorang wanita yang menjaja diri di lorong-lorong maksiat. Jika dilihat realiti kehidupan, takkan jumpa ayah dan anak bertaraf selebriti berwatak sedemikian. Aku faham, jalan cerita digarap sedemikian rupa bagi menyemarakkan lagi emosi audien agar mendapat 'rating' yang baik.

Kesampingkan itu semua. Aku lebih menjurus kepada skrip yang menelanjangi pandangan masyarakat dalam memandang hina mereka yang terperangkap di lembah maksiat tersebut.

Ini di antara mesej-mesej yang sarat dengan pengajaran yang sempat aku rakam:-

1. Mereka yang mengaku beriman dan bertaraf orang kuat masjid, memandang hina dan jijik golongan tersebut sehingga menghalau mereka dari mendekati masjid.

2. Ada ustaz-ustaz yang menganggap agama Islam bertaraf eksklusif dan hanya berdakwah di pentas-pentas selesa tanpa mempedulikan nasib mereka yang jahil dan terpinggir apatah lagi yang bergelumang dengan dosa.

3. Ada juga karekter Ustaz yang menjadi penunggang agama. Mengambil kesempatan atas nama agama dalam memanipulasi amanah dan tanggungjawab.

4. Golongan berada yang merancang pernikahan anak-anak atas dasar perniagaan dan kepentingan - kepentingan tertentu.

5. Isteri tidak melayan suami sehingga menyebabkan si suami berlaku curang dalam melepaskan nafsu bersama wanita-wanita lain.

6. Isteri sanggup bersekongkol dan bersubahat demi menutup aib suami tanpa mempeduli tindakan haram yang diambil.

7. Golongan yang terpinggir bersangka buruk terhadap Allah bahawa kesengsaraan yang mereka tanggung adalah tidak adil buat mereka.

8. Cemuhan masyarakat sekeliling yang memandang jijik dan tidak memberi peluang untuk mereka memulai hidup baru.

9. Kemudahan pinjaman 'along' yang tidak serik-serik dilanggani masyarakat Malaysia walau tahu dikenakan 'bunga' yang tinggi juga sedar akan kesan dan akibat yang membahayakan nyawa diri dan keluarga.

Begitu di antara mesej berguna yang dimuatkan dalam drama NUR.

Bagaimana dengan watak?

Watak Ustaz Adam..ekstrem. Penceramah selebriti yang merela dan mempertahankan tindakannya mengahwini bekas pelacur hingga sanggup mengenepikan keluarga terutama ibunya.

Watak Ustaz Mukhsin..ekstrem. Seorang ayah yang sanggup mempertahankan tindakan anaknya walau terpaksa menanggung cemuhan masyarakat.

Watak Ustaz Madi..ekstrem. Seorang fasik yang berpura-pura menjadi ustaz dalam survival kehidupannya.

Watak Aishah..ekstrem. Bertindak membabi buta dalam menyelamatkan suaminya yang fasik dan cubaan memisahkan hubungan suami isteri Ustaz Adam dan Nur.

Watak Nur? Watak normal bagi seseorang yang mencari kebenaran dan mendapat hidayah Allah.

Watak Mona? Watak normal bagi seorang ibu yang stigma sebagai perempuan lorong. Wanita yang hilang kepercayaan terhadap lelaki lantas berpandangan skeptikal untuk mereka yang ingin menyelamatkan perempuan-perempuan lorong.

Watak Datin Musalmah? Watak normal yang susah untuk menerima hakikat anak bergelar Ustaz mengahwini bekas pelacur.

Dalam semua watak-watak utama di atas, hanya watak Ustaz Adam dan Datuk Mukhsin yang agak diragui kewujudannya. Karekter yang melangkaui sifat normal manusia.

Walaubagaimanapun, sekalung tahniah buat Penerbit, Pengarah dan Penulis skrip Sharulezad dalam menelanjangi dunia kotor demi sebuah mesej bersih untuk renungan mereka yang meletak diri ke tahap maksum.

Tahniah juga kepada para barisan pelakon yang cemerlang dalam menghayati watak-watak dunia nyata, lantas memberi kesan mendalam di jiwa audien.

"Biar terlajak bangun malam lalu menginsafi diri sebagai pendosa, dari bertahajud berbekas di dahi tetapi menepis-nepis keinsafan ahli maksiat!"

Hari kelima, kami meneruskan misi kembara dalam mengimarah bumi Tuhan. Semoga kehidupan dan perjalanan kami dilimpahi Nur...agar yang terang tidak dibayangi sisi bayang gelap.

Ampunkan kami ya Allah jika watak-watak antagonis NUR pernah hinggap di hati kami..ampunkan kami ya Allah!!!

3 Julai 2018 St Lucia, Brisbane