Translate

Wednesday, 30 March 2016

Terungkai Jua Sudahnya

Subhanallah...apa yang kurasa pada hari itu, rasa kekuatan aura yang mengundang harmoni, rasa ukhuwah jua tenang di sepanjang perjalanan kursus...terjawab pada hari dan ketika yang membenarkan janji-janji Allah bagi mereka yang ikhlas.

Merujuk kepada entri bertarikh 24 Mac 2016 'Aahh..Lain Benar Rasanya', aku tercari-cari gerangan mereka yang membawa aura positif sehingga benar-benar kurasa kehebatan kuasa itu.

Lantas hari ini takdir merungkai segala misteri aura hebat tersebut.

Program 'Anugerah Kakitangan Cemerlang' berlangsung hari ini bagi meraikan kakitangan yang memperolehi rating tertinggi berbanding yang lain. Finalis-finalis yang diundang berdebar menunggu keputusan akhir untuk dinobatkan sebagai juara bagi setiap jabatan.

Aku hadir bagi meraikan sijuara juga untuk aku ucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya melangkah ke peringkat akhir pemilihan juara.

Aku kaget!!! Sebentar terdiam dalam keharuan...Allah memberi jawapanNya. Tiga orang kakitangan yang dianugerahi gelaran cemerlang dan beberapa kakitangan yang berjaya ke peringkat akhir merupakan mereka yang hadir di dalam kursus latihan yang kukendalikan baru-baru ini!!!

Merekalah yang membawa aura hebat di dalam kursus sehingga jika boleh ku analogikan keadaannya seperti Rabiatul Adawiyah (seorang ahli sufi) yang dikelilingi haiwan-haiwan liar pemangsa dan mangsa tetapi boleh duduk bersebelahan tanpa sebarang gangguan. Aura Rabiatul Adawiyah menyatukan mereka yang bersengketa atas hampirnya beliau dengan Allah bersebab amalannya yang ikhlas.

Aku mendapatkan kesemua mereka demi sebuah penghormatan tertinggi yang layak mereka terima. Mereka tidak mempromosi diri di dalam kursus malah tekun mendengar. Itulah ciri-ciri bagi mereka yang ikhlas beramal.

Mereka diam bekerja di sebalik tabir, tetapi ketentuan Allah mempamer segala yang mahu diselindung. Ikhlas mereka dibayar melalui promosi Allah!

Subhanallah!!! Rindu untuk aku bersama mereka di dalam satu halaqah...sungguh!!!

Terimakasih sahabat kerana mengajarku erti sebuah keikhlasan yang hakiki! Syukran.


Saturday, 26 March 2016

Persoalan Perlambangan

Kerap aku terbaca beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh rakan taulan berkenaan lambang-lambang yang bercanggah dengan hukum langit.

Diberi contoh lambang salib yang mewakili negara England dan pasukan bolasepak AC Milan. Bolehkah kita memakai 'jersey' yang pastinya mempamer lambang tersebut di sepanjang pemakaian seseorang.


Aku ingin memberi contoh mudah terhadap persoalan tersebut seperti memakai jubah menyamai paderi kristian, berfesyen tudung seakan 'sister kristian', memakai ihram kuning setara dengan sami buddha. Tidak ketinggalan memperagakan lambang mahupun logo berciri keagamaan lain seperti salib, lambang Israel yahudi dan lain-lain lambang berciri keagamaan kafir.



Tegasnya apa sahaja ritual dan rutin hidup kita tidak boleh menyamai agama lain walau tidak diletakkan niat ke arah itu. Ini bukan lagi soal niat yang betul atau tidak tetapi ia lebih menjurus ke arah boleh menimbulkan fitnah terhadap sipemakai. Nampak seolah kita pula yang mahu mempromosi lambang agama kafir yang menentang Islam.

Dewasa ini kita boleh lihat sekian banyak lambang-lambang kristianisasi tertera di produk-produk seperti bendera England, Norway, Sweden, di jenama kereta Alfa Romeo, di jam tangan Swiss, di produk berjenama Dettol dan pelbagai lagi.



Rujukan dibuat, ramai Ulama' berpandangan agar mengelakkan apa sahaja perlambangan jika ia bukannya satu keperluan mendesak. Penggunaan produk yang tertera lambang salib seperti sabun Dettol adalah jelas untuk kesihatan, bukan untuk mengagungkannya, tidak pula dipamer-pamer kepada yang lain...maka harus hukum menggunakannya.

Berbalik kepada pemakaian baju atau 'jersey' bola yang jelas tertera lambang salib, aku lebih berpandangan untuk mengelakkannya kerana ia jelas kelihatan ke mana-mana kita pergi. Nampak pula kita yang galak mempromosi lambang salib tanpa sedar!

Sepintas lalu, aku titipkan contoh jawapan Ulama terkenal tentang isu berlakon bersama lambang salib.


Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi pernah ditanya oleh seorang pelakon yang melakonkan watak tentera Kristian di dalam perang salib yang memakai pakaian yang ada lambang salib.
Beliau menjawab,
“Tidaklah menjadi hal Insyallah, sesungguhnya maksud memperlihatkan salib bukanlah tujuan mensucikan (taqdis) dan tidak mengagungkan (ta’zim) – ia bukanlah sesuatu yang diharamkan oleh Islam dan perkara yang sangat diharamkan keatasnya – bahkan ia bermaksud membezakan di antara orang Islam dan musuh-musuh mereka di dalam pakaian, lambang dan bendera-bendera dan penampilannya jelas kepada para penonton, dan perang ini juga telah dikenali dengan namanya (Perang Salib) kerana slogan (salib) yang mereka bawa, maka salib tadi merupakan satu keperluan yang muncul di dalam kerja-kerja seni, sehinggalah konflik muncul diantara peperangan diantara kedua pihak itu”.
Akhir komentar, segala-galanya tertakluk kepada pemahaman dan keimanan seseorang dalam menterjemah sesuatu. Mereka yang peka, prihatin dalam mempertahankan iman yang senipis kulit bawang, mana mungkin tergamak meletak sesuatu di tubuh badan dengan lambang-lambang yang menggugat keimanan tanpa keperluan mendesak. Tetapi bagi yang tegar mempamer lambang salib dengan justifikasi tanpa niat...terpulanglah. Itulah tahap iman seseorang.


Wallahua'lam.

Thursday, 24 March 2016

Aahh..Lain Benar Rasanya

Hari itu aku mengendalikan program 'Core Values' bersama 27 kakitangan syarikat. Program yang berlangsung selama 2 hari 1 malam di Port Dickson menuntut komitmen yang tinggi bagi menghasilkan impak maksima ke arah menjadi kakitangan cemerlang.

Mereka yang hadir rata-rata datang dari latar belakang yang berbeza. Jarak umur juga pelbagai tahap...dari semuda 21 tahun hinggalah layak dipanggil ayah...51 tahun umurnya.

Dua peserta merupakan bekas YDP dan Exco Kanan Kesatuan Sekerja Syarikat. Keadaan itu pastinya memberi tekanan kepadaku untuk mengimbangi hak-hak kakitangan dan pihak pengurusan.

Tetapi lain pula jadinya kali ini...separuh hari berlalu, aku terasa kelainannya. Hati berdetik mencari-cari di mana datangnya 'aura' positif yang mempengaruhi 'mode' peserta. Adunan Komitmen, Hormat, Integriti, Mampan dan Prestasi Diri diadun dengan baik melalui watak-watak yang dipamer di sepanjang program berlangsung.



Mereka ceria dalam keadaan yang amat harmoni membuat kami cepat mesra. Buat pertama kali aku mengingati kesemua nama mereka di dalam sebuah program...sungguhhh!!!

Buat pertama kali hatiku sedikit tersentuh dalam mengakhiri program dengan berpelukan meraikan perpisahan...sungguhhh!!!

Buat pertama kali jua aku teringat kepada mereka di lewat malam beraduku. Benar-benar aku rasa kelainannya...sungguhhh!!!

Aku pasti aura positif yang kurasa itu
datangnya dari beberapa peserta yang jernih hatinya lantas mempengaruhi 'mode' program.

Itulah kuasa hebat sebuah hati yang bersih dan tulus...wataknya tidak kelihatan tetapi rasanya amat mandamaikan suasana.

Terimakasih kepada insan hebat itu!!!



Sunday, 20 March 2016

Aku Tak Kisah Tapi...

Senario berlaku di kaunter pam minyak. Menuju ke kaunter untuk membayar jumlah harga petrol yang diperlu...terdapat dua orang di hadapanku. Setiba giliran, terus seorang pelajar yang berjalan dari arah sisi tepi memotong laluanku. Dihulur wang kertas untuk harga petrol motornya. Aku terdiam kaget tidak berkata...hanya melihat gelagat anak muda. Boleh sahaja aku memarahinya...ye lah, hanya budak mentah yang langsung diam menikus bila dimarahi.

Aahhh...untuk apa aku pula yang mahu melatah? Itu bukan masalah aku. Itu hanya kerenah makhluk Allah yang mengikuti peredaran zaman yang sudah semakin sirna nilai-nilai kehidupannya. Kubiarkan sahaja si pemuda tersebut melepasi laluanku...mungkin ada sesuatu yang mahu dikejarnya. Biarlah...

Tetapi...berlaku pula sesuatu yang tidak pernah kujangka...tidak kuduga...melangkaui batas pemikiranku.

Wanita yang menjaga kaunter menolak huluran wang dan mengarah pelajar tersebut untuk beratur masuk ke barisan. Pelajar tersebut nampak masih mahu mencuba untuk mendesak tetapi perbuatannya menambah tinggikan lagi nada suara penjaga kaunter.

Aku pula yang ingin meredakan keadaan, "Takpe...saya tak kisah", tetapi lontaran suara aku tidak dihiraukan olehnya. Maka berlalulah pelajar tersebut ke barisan belakang dengan tersengih-sengih memberi isyarat kepada rakannya yang sedang menunggu di pam minyak.

Aku teruja dengan keadaan itu. Ketegasan wanita penjaga kaunter mencerminkan watak seorang guru disiplin di sekolah. Ya...guru disiplin yang saban berhadapan dengan kerenah dan mehnah pelajar. Guru disiplin yang pada bila-bila masa akan dicerca oleh ibu ayah pelajar. Guru disiplin yang bakal didakwa di mahkamah dek pengaruh ibubapa yang hilang kewarasannya.

Bagaimana dengan nasib penjaga kaunter tersebut? Harap-harap tiada tindakan susulan yang dihadapinya dari pelajar bawah umur yang bertindak selayak terlebih umur.

Aahhh...aku menghidupkan enjin kereta seusai mengisi petrol sambil bermonolog sendiri, "Inilah nilai yang harus dibayar demi sebuah disiplin hidup...amat berisiko!!!"


Tuesday, 15 March 2016

Lembu Gila Atau Manusia Yang Gila

Ingat tak di akhir abad ke 20 dahulu berlaku kejadian 'mad cow disease' yang menatijahkan bertan-tan daging yang diimport dari Amerika dan blok barat ditarik balik dari pasaran. Beribu-ribu lembu mati dek serangan penyakit yang nama saintifiknya disebut sebagai 'Bovine Spongiform Encephalopathy'.

Kajian awal juga mendapati penyakit ini boleh menjangkiti manusia yang boleh menyebabkan otak manusia semakin susut.

Ingin kukongsi di sini, di dalam modul Halal yang kukendalikan bersama kakitangan, terdapat segmen penyakit lembu gila. Kuceritakan bahawa penyakit ini wujud adalah berpunca dari penternak-penternak yang mencampurkan makanan lembu seperti rumput dan bijirin...bersama usus, perut dan bahagian dalaman binatang lain yang mahu dibuang. Apabila lembu menjadi karnivor, ia sebenarnya menentang fitrah kejadiannya sebagai herbivor...maka gila dan berpenyakit jadinya haiwan tersebut.

Inilah perancangan manusia gila yang menyumbat masuk segala idea gila untuk sebuah keuntungan.

Cerita tersebut tidak habis di situ. Aku analogikan kisah lembu yang menjadi gila kerana menentang fitrah semulajadi itu kepada manusia pula.

Manusia dicipta dengan segala fitrah yang baik dan telah memeterai perjanjian di alam roh untuk mengaku keESAan Allah sebagai pencipta sebelum dilahirkan lagi.

Tetapi apabila manusia tidak mempedulikan segala makanan shubhah dan haram yang masuk hadam ke dalam perut, maka sebatilah makanan tersebut dengan yang empunya diri. Natijahnya...jiwa dan akal manusia menjadi gila untuk sebuah pertimbangan baik dan buruk. Manusia gila ini mula menentang segala suruhan Allah...beraja di mata bersultan di hati.

Seperti lembu yang berpenyakit gila kerana menentang fitrah biologi haiwan herbivor...begitu jualah manusia yang semakin gila dan galak berbuat maksiat kerana menentang fitrah dirinya yang baik dengan menyumbat masuk segala yang haram ke dalam perut.

Benar...kita lahir ke dunia dalam keadaan fitrah suci bersih tetapi telah dinodai di sepanjang musafir menuju kepadaNYA.

Kakitangan yang mendengar analogi tersebut terkebil-kebil matanya memandang tepat ke arahku...entahkan faham, entahkan tidak.

Inilah dakwahku...


Sunday, 13 March 2016

Aku, Mereka dan Organisasi

Kerjayaku di sebuah organisasi penerbangan bermula seawal tamat pengajian. Kehidupanku yang mulanya berseorangan sehinggalah beristeri dan dianugerahi zuriat, segalanya bersumberkan pendapatan di organisasi tersebut.

Kesetiaan dan keserasianku bersama organisasi ini nyata telah menghasilkan impak yang besar ke atas diri sendiri. Aku dibentuk, dididik jua ditukar cara berfikir sepanjang kehidupanku bersamanya. Peluang yang mendatang tidak kusia-siakan atas keinginan diri untuk meningkatkan kualiti hidup dan seterusnya berbakti sebanyak mungkin kepada syarikat yang telah sekian banyak berjasa membantu aku mencapai cita-cita.

Di dalam proses menuju ke puncak, pertukaran ke jabatan-jabatan lain adalah lumrah agar kakitangan tersebut berpeluang menerobos ilmu baru untuk sebuah anjakan paradigma. Terpulang kepada persepsi masing-masing. Jika sisi negatif yang dilihat, maka tiada apa yang dapat diraih sebagai bekal ilmu. Tetapi jika itu dianggap sebagai peluang dan batu loncatan untuk pergi lebih jauh, tunggulah...masanya akan tiba untuk ia membuka lembaran baru kehidupan.

Ditempatkan di jabatan baharu bagai menyuntik semangat untukku membuat pelbagai perubahan. Tetapi yang nyata, aku menjadi semakin ramah dalam menyapa siapa jua. Kerana apa? Kerana di jabatan Latihan dan Pembangunan ini lebih mendidik diri menjadi insan yang disenangi. Iye la...bukan senang hendak merubah sikap dan perilaku manusia...ianya harus bermula dari diri sendiri. Jika mulut sendiri berat mahu menyapa, masam mencuka dan tidak mesra, jangan mimpilah mahu menjadi 'icon' kepada yang lain.

Ada sesuatu yang mahu kukongsi di sini...

Telah banyak latihan yang kukendali bersama kakitangan. Banyak juga ragam dan kerenah mereka...di sinilah kita perlu bijak mengawal peserta agar mereka tidak hanyut bersama deruan ombak bersebelahan bilik latihan atau...mereka tidak mengambil-alih peranan fasilitator yang gagal mengawal karekter peserta yang 'hyper active'.

Tetapi peserta yang seorang ini berlainan sifatnya. Sebelum memasuki kelas latihan kendalianku, beliau tidak mesra denganku. Memandang mukapun jarang tersenyum. Aku tidak tahu namanya...hanya kelibatnya kekadang menyapa di hadapan mata.

Hari itu aku lihat beliau berada di dalam kelas. Kelas latihan selama 2 hari 1 malam bertempat di Port Dickson dengan jumlah 30 peserta, memberi idea kepadaku untuk melonjakkan dirinya ke hadapan.

Aku memasang strategi dengan melantik dirinya sebagai Tok Penghulu di dalam kelas. Beliau berkuasa penuh menghentikan kelas pada waktu yang ditetapkan, memanggil masuk anak-anak buah ke dalam kelas seawal waktu dan diberi penghormatan untuk berucap di sesi penutup latihan di hari terakhir.

Oohhhh...impaknya sangat besar dan menakjubkan!!!

Beliau memelukku erat seusai kelas tamat. Di syarikat pada setiap kali terserempak kelibatku, beliau akan menghampiri bersalam dan bertanya khabar. Pernah suatu hari sedang aku berjalan dari tempat parkir menuju ke lobi, beliau membunyikan hon dan menurunkan cermin kereta untuk memberi salam. Oohhh...ceria nampak kehidupannya!

Tertera satu kepuasan yang tidak mampu untuk kugambarkan bagaimana rasanya. Mungkin umpanku mengena, bersesuaian dengan karekter beliau yang sebenarnya seorang yang ceria. Hanya mungkin beliau tidak berpeluang untuk menunjukkan bakatnya sebagai seorang yang berpengaruh dan boleh mengawal selia keadaan.

Di sini aku belajar sesuatu...manusia perlu dihargai dan diberi peluang untuk mempamer bakat yang semakin berkarat tidak dipeduli.

Atau...syarikat akan terus kehilangan mereka yang berpotensi dek mainan politik mereka yang berpengaruh!!!

Wallahuwa Rasul a'lam



Saturday, 5 March 2016

Oohhh Mataku Berkaca...

Hari lahir? Kekadang aku sendiri terlupa tarikh aku dilahirkan apatah lagi untuk menyambutnya. Aku lebih takut menanti hari mati kerana datangnya tanpa diundang...perginya membawa kita pulang bersama dosa dan pahala.

Aku lebih teruja menyambut hari lahir mereka yang berada di sekeliling...mak, isteri, anak-anak, adik beradik juga handai taulan yang rapat.

Memang aku menanti tarikh hari lahir mak. Dua tiga hari sebelum, aku sudah menjenguk mak dan menghulur sedikit imbuhan...tak banyak...tetapi cukup menggembirakan hati mak atas ingatan anak-anak.

Memang aku menanti tarikh hari lahir isteri. Bangun pagi sahaja, aku akan menjadi orang pertama mengucapkan "Selamat Hari Jadi Gee, semoga terus istiqamah dengan amalan dan diberikan kesihatan yang baik juga dimurahkan rezeki...terimakasih atas segala".

Memang aku menanti tarikh hari lahir anak-anak. Jika mereka berada di rumah, aku akan mendapatkan mereka...berjabat tangan sambil kuucap kata-kata motivasi bagi menghidupkan jiwa mereka. Jika mereka jauh di mata, mesej menjadi alat penghubung untuk sebuah ucap selamat.

Kisah aku pula...dalam aku sering terlupa tarikh lahir sendiri, di situlah berlaku 'kezutan' yang tak pernah kuduga perancangan anak isteri.

Pernah suatu hari aku keletihan dan tidur awal. Isteri berada di bilik anak perempuan ber 'pok pek pok pek' la tu. Maklumlah anak perempuanku belajar jauh..sekali-sekala pulang memang banyak kisah yang mahu dikongsi.

Sedang aku lena dibuai mimpi, terdengar ketukan di pintu bilik yang bertali arus disambut bunyi hingar-bingar di luar bilik. Aahhhh...memang keadaan tersebut membuat mindaku tak stabil, maklumlah keletihan tidurku diganggu.

"Pintu tak kunci, masuk je la", jawabku dari dalam. Mereka masih mengetuk-ngetuk pintu tanpa mempedulikan sarananku. Haaaiiissyyyy...terpaksa la aku bangun buka pintu dengan mata terpisat-pisat.

Terbuka sahaja pintu, beralun lagu "selamat hari jadi, selamat hari jadi, selamat hari jadi ayah, selamat hari jadi" yang dinyanyikan oleh semua ahli keluarga pada tepat jam 12 malam. Masing-masing masuk ke bilik berbekal hadiah untukku.

Di tahun-tahun yang lain pula...aku keluar bekerja seawal pagi macam biasa bersekali lambaian dari isteri di muka pintu. Biasanya kami berpisah di bilik kerana isteri juga sedang sibuk bersiap untuk ke pejabat. Lambaian di muka pintu masih tidak pelik buatku...kerana aku kurang peka dengan semua itu.

Sesampai di parkir syarikat, aku berjalan ke lobi tetapi terasa beg aku agak berat dari biasa. "Aku terlupa untuk keluarkan barangan yang patut kuletak di rumah agaknya", begitulah telahan hatiku.

Petangnya aku bersiap untuk pulang lantas kucapai beg galas...oohhh berat beg itu memujukku untuk memeriksanya. Aaahhhhh...terdapat balutan hadiah dan kad ucapan hari lahir...patut la berat. Terus aku menelefon isteri dan anak-anak untuk ucapan terimakasih.

Pernah berlaku apabila aku masuk ke bilik untuk tidur, kelihatan kotak balutan hadiah terletak kemas di atas bantal.

Hhmmm...aku tidak pernah meminta untuk diraikan, sehingga sambutan hari lahir kakitangan di syarikat tidak pernah kuhadiri jika ianya membabitkan hari lahirku. Aku hanya ingin menjadi manusia biasa yang boleh berbakti dan mempunyai privasi sendiri.

Tetapi ingatan ahli keluargaku amat menyentuh jiwa...mataku berkaca. Garapan ayat dari isteri dan anak-anak benar-benar menghidupkan jiwaku untuk meneruskan hidup bersama mereka...inilah tanggungjawab yang perlu kulunas kerana segalanya bakal disoal di sana.

Sambil kukesat air jernih yang tergenang, hatiku berbisik, "Terimakasih Gee, terimakasih anak-anak kerana kalian meletak ayah di sudut istimewa di hatimu".