Translate

Saturday, 28 February 2015

Peluklah Daku...

Masih ingat artikel yang aku tulis berkenaan isu K Pop tidak lama dahulu? Kisah artis dari Korea yang membuat persembahan di Malaysia lalu berpelukan dengan gadis Muslim di atas pentas...viral sudahnya di alam maya!

Isu yang telah diviralkan itu menempa komen-komen panas mengutuk perlakuan yang menyimpang dari norma-norma budaya Melayu dan menatijahkan Jabatan Agama Islam Negeri menjejaki remaja tersebut untuk sesi kaunseling.

Di sini aku kongsikan gambar juga video drama Melayu di tv (semestinya pelakon Muslim) yang melakukan adegan berpelukan. Mana 'keyboard warrior' yang galak memanaskan suasana. Kenapa tidak diviralkan sahaja adegan tersebut?



Tidak kiralah samada bertudung mahupun tidak...ia tetap menyalahi syari'at!!!

Inilah mesej yang ingin aku ketengahkan...kita memilih-milih isu mengikut selera untuk menjadi juara. Di mana rasionalnya?

*rujuk artikel 'K Pop Yang Dikambing Hitamkan' bertarikh 12 Jan 2015.


                                      

Tuesday, 24 February 2015

Melayu Suka Melatah

Aku terima satu kiriman dari laman sosial 'WhatsApp' berkenaan petikan kata-kata dari salah seorang 'tycoon' Malaysia Ananda Krishnan. Petikan kata-katanya berbunyi "Tiada kepentingan bagi saya untuk jaga kebajikan Melayu". Di bawahnya tertera persoalan yang dicetus oleh pengirim..."apa patut buat dgn astro dan maxis?? apa kata anda??".



Secara logika, mana ada bangsa lain beriya-iya mahu menjaga kebajikan bangsa lain...betullah jika itu kata-kata yang keluar dari mulut Ananda Krishnan. Adakah bangsa Melayu berjuang untuk menjaga kepentingan bangsa lain?

Lihat pula apa berlaku di sepanjang 'thread' 'group' 'WhatsApp'? Lihat kiriman di bawah...



Kita tak sedar. Sebenarnya inilah hasil provokasi 'keyboard warrior'. Mereka komited menyebarkan berita-berita sensasi dan seterusnya membiarkan pelayar-pelayar siber berperang sesama sendiri menegakkan pendirian masing-masing.

Kita yang berbangsa Melayu pula tak habis-habis ingin menjadi juara. Lihat sahaja petikan 'thread' di atas. Boikot apa sahaja yang menjentik emosi. Macamlah stesyen tv tersebut tiada manfaat langsung...macamlah Astro terlalu melalaikan.

Mahu aku tunjukkan di mana manfaat Astro?
History, Nat Geo, Discovery World, Animal Planet, Discovery Science, Discovery Channel, Nat Geo Wild, Sky News.

Mahu rancangan Islamik? Astro Oasis jawapannya.

Mahu menjarah budaya, kehidupan dan kesenian serantau, sila ke saluran GoAsean.

Suami dan anak bujang kerap ke restoran mamak menonton perlawanan bolasepak? Tambat mereka dengan siaran Arena, ASSP, FOX Sports, Euro Sport.

Mahu rancangan pembelajaran? Tutor TV UPSR, Tutor TV PT3, Tutor TV SPM, TVIQ.

Mahu berita terkini? Bloomberg TV, CNBC, Al Jazeera, BBC, CNN, CCTV News, Bernama TV, Awani.

Mahu layan perut suami dengan masakan enak? Food Network, Life Inspired, Asian Food Channel.

Jika tidak gemar kepada rancangan-rancangan yang melalaikan, jangan masukkan di dalam senarai langganan.

Jika mahu mengawal anak-anak agar tidak leka di depan Astro, gunakan kuasa 'Parental Control'. Wujudkan kata laluan terutama kepada rancangan kegemaran mereka agar anak-anak tidak boleh sewenang-wenangnya menonton rancangan tersebut. Atau paling tidak, simpan sahaja 'smart card' dan buat penjadualan untuk waktu anak-anak menonton. Kita yang mengawal teknologi!

Jika mahu boikot atas dasar rasis, sila pastikan anda boikot produk-produk buatan Yahudi terutamanya alatan teknologi dan bahan-bahan makanan terlebih dahulu.

Jika berkebetulan sudah bertukar ke stesyen TV swasta yang lain, tak perlulah mengutuk-ngutuk dan mencari kelemahan Astro...masing-masing bebas membuat pilihan.

Maksiat sahajakah apa yang dihidang di Astro?

Masih lagi nak jadi juara isu semasa? Terpulanglah...tetapi jangan sampai menidakkan fakta-fakta kerana di situ terserlah mainan emosi yang langsung tidak membantu minda untuk berfikiran positif.

Maaf...aku hanya tidak mahu bangsa Me'layu'ku semakin layu ditelan zaman...maaf.


Sunday, 22 February 2015

Artis dan Dadah

Artis dan dadah...adakah itu satu fenomena yang baru wujud? Mengapa bila ada sebilangan artis yang terbabit dengan dadah, beritanya gah dan mendapat perhatian masyarakat? 

Begitu juga dengan kesalahan dan kesilapan yang berkisar di dunia artis seperti perceraian, mencuri, bergaduh dan sebagainya. Beritanya bakal menjadi 'viral' yang dicetus oleh 'keyboard warrior'.

Berbalik kepada isu artis dan dadah. Jika kita masih ingat kes penangkapan Jamal Abdillah di era 80an atas kes dadah. Beliau dimasukkan ke pusat pemulihan selama beberapa tahun. Di waktu tersebut Kementerian Penerangan telah melarang lagu-lagu Jamal Abdillah dimainkan di semua stesyen radio Malaysia...arahan dari Menteri Penerangan Datuk Mohamed Rahmat.

Di kala itu kerajaan sedar bahawa artis yang menjadi figura masyarakat harus berdisiplin dan pandai menjaga diri kerana tindak-tanduk mereka bisa mempengaruhi jiwa anak-anak muda yang memuja mereka. Artis-artis rock yang berambut panjang juga dilarang mengambil bahagian di dalam rancangan kelolaan RTM...dalam erti kata lain, mereka di 'gam'.

Aku setuju dengan tindakan 'gam' dari badan-badan tertentu demi untuk mereka insaf tentang salah laku yang mereka lakukan. Mereka harus sedar bahawa peranan dan pengaruh yang mereka tonjolkan memberi impak besar kepada remaja yang mencari-cari identiti diri.

Tetapi bagaimana sekarang? Nampaknya artis lepas bebas tanpa sebarang sekatan dan ikatan. Mereka tidak terikat dengan tindakan 'gam' oleh badan-badan tertentu.

Lihat sahaja penyanyi sekarang yang terbabit dengan pelbagai isu seperti Radhi OAG (kes dadah), Mamat Exist (kes curi), Ezad Exist (kes dadah), Salem Iklim (kes dadah) dan yang terbaru Zamani Slam (kes dadah).

Kesemua lagu-lagu mereka masih tetap berkumandang malah lebih kerap dari sebelumnya. Mereka diketengahkan di stesyen-stesyen radio untuk berkongsi cerita dan pengalaman sewaktu di alam khayal.

Eerrmm...janganlah hairan jika ramai lagi artis-artis yang galak mencebur diri dalam kegiatan salah-laku. Tak perlu gusar kerana lagu-lagu mereka semakin laku lantaran tiada istilah 'gam' di zaman siber ini. Mereka pula boleh pada bila-bila masa membuat 'come back' malah akan jadi lebih popular dari sebelumnya.

Mereka tak risau...aku pula yang sasau. Senario ini mempunyai impak yang besar dalam membentuk peribadi masyarakat. Anak-anak muda mudah terikut gaya hidup mereka yang celaru dan menyimpang itu.

Apakah ini yang kita mahu?


Saturday, 7 February 2015

Dakwah Nabil Orang Tak Perasan

Maharaja Lawak Mega sudah melabuhkan tirainya bersama laungan juara dari negeri di bawah bayu..kumpulan ZERO. Juara bertahan 2013 SEPAHTU tidak mampu mengekang kemaraan kumpulan lain yang kepingin gelaran No 1.

Di siri separuh akhir, 6 kumpulan berentap bagi kelayakan ke pentas akhir Maharaja Lawak Mega 2014.

Nabil menampilkan satu sketsa bertema 'prop' yang memapar seorang budak kampung agak 'kurang siuman'. Beliau menggunakan 'prop' kukur kelapa sebagai terompah dan selipar jepun sebagai telefon bimbit. Budak yang 'kurang siuman' tersebut telah kehilangan terompahnya di masjid dan sibuk bertanya orang-orang di sekeliling. Sketsanya amat menjadi sehingga berkali-kali aku menontonnya.

Dalam berulang-kali menonton, aku terperasan satu ayat yang diucap Nabil. Ayat yang menggambarkan realiti yang benar-benar wujud di sekitar kita. Cuba perhati di bawah...

Ibu kepada budak itu telah menelefonnya...

"Mak, mak aar...dekat masjid...dekat masjid ni"

"Orang gila tak payah sembahyang?"

"Mak...yang tak sembahyang tu yang gilaaa...yang tak sembahyang tu yang gila maaak!!!"

Yaaa...itulah realitinya. Di sekeliling kita ramai orang gila. Mereka wewenang meminggir solat dan berbuat maksiat seolah Tuhan tak wujud. 

Menurut syari'at, hanya mereka yang kafir dan gila sahaja tidak tertakluk kepada segala hukum Allah.

Nabil berdakwah tapi ramai yang tak perasan!