Translate

Wednesday, 29 January 2014

Potensi Yang Tersembunyi

Mahu berjaya bukan mudah. Pepatah Melayu berbunyi, 'jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya', mengesahkan lagi betapa usaha yang tidak mengenal penat lelah harus dilakukan bagi mendapatkan sesuatu.

Lihat ahli sukan, 'gymnas' sebagai contoh. Seawal usia 10 tahun telah dilatih tubi untuk mencapai tahap 'perfect' dalam segala pergerakan badan. Nadia Comaneci dari Romania telah memenangi markah sempurna 'perfect 10' di Sukan Olimpik 1976, Montreal. Dia menjadi lagenda di dalam sukan gimnastik.

Itu kisah usaha tangga kejayaan. Tetapi ada juga kisah orang yang dipaksa untuk berjaya. Di dalam tubuh kita terdapat 'adrenalin' yang menanti masa untuk diledakkan. Situasi tenang dan santai tidak mampu meningkatkan tahap pecutan 'adrenalin' tersebut.

Ia boleh digambarkan sebagai seseorang yang dikejar anjing lalu dia mampu berlari sepantas kilat dan melepasi pagar setinggi 6 kaki. Juga seseorang yang ditolak jatuh ke dalam sungai yang ada buaya, dia yang tidak pandai berenang akan secara spontan melakukan gaya bebas berenang laju menuju tebing.

'Adrenalin' ini yang mampu melonjak kapasiti seseorang yang biasa-biasa kepada luarbiasa.


Contoh lain diberi. Di dalam situasi terpaksa, dia harus mengambil alih peranan 'boss' dalam memberi penerangan kepada pemegang-pemegang saham syarikat tersebut.

Dia terpaksa mempengerusikan mesyuarat setelah diarah secara 'adhoc' oleh 'boss'nya. Ya, semua manusia memiliki potensi yang tersembunyi tetapi ramai yang tidak menyedarinya. 

Hanya jika terpaksa dan dipaksa, baharulah terserlah kemampuan dan seterusnya melonjak dirinya sebaris dengan mereka yang berjaya di dunia dan di akhirat.
Galilah...potensi itu ada dalam dirimu!



Saturday, 25 January 2014

Coretan Si Anak

Ceramah sempena Maulidurrasul itu mengupas tajuk peribadi Rasulullah yang tiada tolok bandingnya. Ustaz berkongsi cerita tentang keluarganya. Cerita itu memaut hati dan naluriku untuk bermuhasabah diri.

Ustaz biasanya sibuk dengan program ceramah dan kuliah di merata tempat. Tetapi hari itu agak lengang keadaannya. Ustaz santai di rumah menikmati ketenangan. Disambil untuk berkemas sedang hati mula bosan tiada aktiviti.

Ustaz masuk ke bilik anak perempuannya dilingkungan belasan tahun untuk mengemas apa yang perlu. Terlihat di dalam sudut almari sebuah dairi...tergerak hati untuk membelek. Helaian demi helaian diselak dan terus mata terpaku kepada satu mukasurat yang bertulis ringkas. Mata Ustaz mula berkaca...bergenang mengenang sekian lama cebiasan tulisan yang tidak terluah oleh suara di hadapannya.

Si anak berasa tidak adil kerana Ustaz membelikan aiskrim 'cornetto' untuk si kakak dan untuknya hanya aiskrim biasa. Anak berasa jauh hati dan dipendam hingga bertahun lamanya.

"Saya sebak kerana terlepas pandang dan menganggap hanya perkara remeh", Ustaz mengakhiri cerita.

Aku mula berasa resah. Resah takut-takut ada coretan dari anak-anak yang melahir rasa bengkeng terhadap pengurusan keluarga yang pincang...yang diterajui olehku sebagai 'ayah'.

"Anak-anakku, ayah harap kalian bisa meluah terus kepada ayah jika ayah tidak berlaku adil. Ayah hanya manusia biasa yang sering teralpa dengan rencah dunia...maafkan ayah" suara dari kerongkongku seakan tersekat tonasinya.


Wednesday, 15 January 2014

Berdoa Semahumu Tetapi...



Setiap makhluk pasti diuji. Peruntukan ujian pula adalah mengikut kapasiti iman masing-masing. Allah tidak zalim dalam memberati makhluknya dengan ujian-ujian yang berat dan tidak mampu ditanggung. Ujian paling hebat adalah milik para Nabi dan RasulNYA yang dilantik untuk menyampaikan risalah langit.

Bila diuji, kita disarankan untuk menempuhnya dengan sabar dan redha. Allah dan RasulNYA telah memberi bekal dan senjata dalam misi penyelesaian...itulah DOA.

Tetapi agak malang bila ramai yang menyalah tafsir peranan senjata ampuh itu. Mereka berdoa, berdoa dan berdoa SAHAJA!

Di mana letak usaha? Akal pula tidak diguna untuk memikir penyelesaiannya. Tenaga terus disimpan entah bila mahu digembeling. Menanti keajaiban dari langit agaknya.

Doa harus disusuli dengan TAWAKAL, barulah lengkap Sunnatullah itu. BERUSAHA, BERDOA dan BERTAWAKAL kepadaNYA.

Rasul Allah sendiri menempuh payah dalam melengkapkan agama syumul ini. Baginda tidak berpeluk tubuh seusai berdoa. Direncanakan strategi dan diusahakan sebaik mungkin segala perencanaan.

Kepada mereka yang acapkali berdoa tanpa disusuli usaha...fikirkanlah. Allah tidak merubah nasib seseorang itu sedang dia sendiri culas dalam berusaha...hidup dalam melarat kepapaan tiada penghujung.

Bila yang berdoa mengatakan pasrah dan redha terhadap segala ketentuannya, hatiku terpana dan terharu.

Tetapi bilaku terperasan yang doanya tiada susulan usaha...berharap, berharap dan terus berharap, maka perasaan itu terus kukuburkan mati. Doa itu hanya bersifat 'lagha'.

Sunday, 12 January 2014

Pencetus Ummah

Rancangan terbitan Astro yang dinamai sebagai 'Pencetus Ummah' telah mengisi minda dan ketirisan ilmu masyarakat di Malaysia khususnya. Da'i dan Murabbi berganding bahu membentuk hubungan mantap dalam memasyarakatkan ilmu. Setidak-tidaknya rancangan tersebut dapat mengimbangi slot-slot hiburan yang tidak bertepi.

Ada beberapa ulasan hasil dari analisa aku yang dangkal dan tidak seberapa...

1. Konsep 'Pencetus Ummah' adalah berlatarbelakang Islam yang kontemporari dan sederhana. Penampilan peserta-peserta yang santai dan mengikut peredaran zaman memberi persepsi bahawa Islam itu mudah didekati.

2. Audien yang hadir terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat. Orang awam, selebriti, muaallaf, pemuzik malahan yang bukan Islam juga mendapat tempat. Menunjukkan bahawa Islam itu milik semua.

3. Ditekankan oleh PU tentang tanggungjawab dakwah tergalas di bahu Muslim, bukan hanya orang-orang agama sahaja yang memain peranan. Berdakwahlah di atas kapasiti masing-masing kerana kita wajib menyampaikan walau satu ayat.

4. Muzik didendang, lagu dinyanyi, dipersembahkan lakonan. Segala gerak laku diberi nafas Islam dan menepati syari'atullah.

5. Di malam final, Pak Nil (Aznil Hj Nawawi) telah diberi tugasan sebagai pengkritik PU dalam kategori persembahan dan bahasa.

Pak Nil telah dikritik kerana menegur salah seorang PU yang menyampaikan dakwah secara keras dan meninggikan suara.

Aku bersetuju dengan Pak Nil. Pendakwah seharusnya lebih berhemah dalam misi mendekati masyarakat untuk lebih mengenali Islam, bukan dengan cara yang kasar dan menakutkan. Ini bukan medan perang...ini pentas penyampaian dakwah. Rasulullah tidak pernah berlagak keras dalam misi dakwah hatta diri Baginda disakiti.

Semoga program 'Pencerus Ummah' pertama ini akan disusuli dengan program kedua, ketiga dan seterusnya kerana sebetulnya program ini telah mencetus evolusi jiwa di kalangan masyarakat marhein...tidak terkecuali aku.


 
Sekadar pandangan...

Thursday, 9 January 2014

Agama Perlu Populariti?

Baru-baru ini penduduk di taman aku telah menjemput seorang Ustaz yang popular di kalangan masyarakat untuk berceramah sempena Ma'al hijrah. 'Banner' dan poster digantung di merata tempat untuk tujuan promosi, agar majlis tersebut mendapat sambutan dari kalangan penduduk sekitar.

Hari itu tiba. Limpahan masyarakat amat menakjubkan. Jika mahu di 'peribahasa' kan situasi tersebut adalah seperti 'yang sihat datang berjalan, yang capek datang bertongkat, yang sakit datang berpimpin'.



Kebanjiran kereta yang memakir sehingga dua kilometer jauhnya...sanggup mereka berjalan kaki dari hujung ke hujung. Alhamdulillah...semangat Islam yang membara itu amat-amat merangsang jiwaku. Tarikan ilmu sudah tidak dapat dibendung lagi...mereka kahausan ilmu.

Tetapi ada perkara yang bermain di benakku...aku terganggu. Terganggu kerana ceramah mingguan tidak mendapat tempat. Ustaz-ustaz yang tiada berjenama seolah hanya mengisi slot-slot rancangan basi. Selipar di ruang tangga boleh dikira secepat beberapa saat.

Ke mana menghilang mereka yang sebelumnya begitu bersemangat menimba ilmu sehingga sanggup memakir kereta sejarak beberapa kilometer jauhnya!

Oohhh..aku terlupa sesuatu. Ini zaman siber...zaman yang memerlukan populariti dalam segala segi. Zaman yang menunjangi produk-produk yang berjenama tinggi dan ternama. Zaman yang perlukan promosi di sana-sini.

Menimba ilmu perlu berguru, gurunya mesti yang populis. Mendengar ceramah harus dari yang berpengaruh. Sekurang-kurangnya pernah menjadi hos rancangan-rancangan tertentu. Sehabis ceramah ada sesi bergambar. Gambar pula harus disebar ke laman sosial. Lekalah masing-masing bercerita tentang lawak jenaka yang tidak membosankan di dalam pengisian ceramah tersebut.

Impak ceramah hilang, kesan ilmu lenyap tidak berbekas. Yang wujud hanya cerita-cerita sensasi dan gambar-gambar kebanggaan.

Bukan salah penceramah tetapi jari harus dituding pada diri sendiri...

"Aaaaahhh...ceramah dah habis? aku mengelamun rupanya".

Kami bersalaman dan melangkah keluar dari surau seusai mendengar ceramah dari penceramah yang tidak berjenama. Tiada sesi bergambar dan tak perlu berebut keluar menuju ke kereta.

Aku semakin tenang melalui situasi ini...tanpa jenama, tiada promosi, bukan popular. Aku hanya ingin ilmu...

Tuesday, 7 January 2014

Belenggu Dunia

Kisah 1

Mak arwah rasa berang sentiasa. Anak perempuannya meninggal, suaminya kahwin lain menggunakan harta yang ditinggalkan arwah...tak adil.

"Anak aku susah-susah cari duit, bila meninggal bekas suami senang-senang menikah lain...eee geramnya!" siibu meluah rasa.

Kisah 2

"Kak Ana lain. Kak Ana tak sayang duit. Rasa nak makan sedap, terus keluar cari. Duit EPF dah hampir separuh Kak Ana keluarkan guna untuk biaya macam-macam hal. Buat apa nak simpan duit banyak-banyak, kita mati nanti suami cari lain guna duit kita...maaf leeeee tak kuasa nak layan".

Kisah 3

"Saya dah buat perjanjian dengan suami. Saya tak halal duit saya untuk guna menikah lain kalau saya mati dulu".

Alahaaaaiiiii perempuan. Sensitif poligami berlaruran sampai ke mati. Tak habis cerita mereka.

Tidak setuju berpoligami di waktu hidup, apa nak dikata...biarlah. Tetapi kenapa terbawa-bawa rasa tak senang tu sampai ke mati. Kelihatan nipis sangat iman yang ditunjukkan. Sehingga menyebut-nyebut harta yang ditinggalkan...

MASIH LAGI MERISAUKAN HARTA DUNIA BERBANDING AMALAN YANG DIBAWA...


Mufti Bukan Ma'sum

Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan Fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria. Beliau mengatakan perhimpunan 'TURUN' di ambang Tahun Baru 2014 adalah untuk menggulingkan kerajaan yang sah. Oleh itu halal darah mereka yang berhimpun (dalam syariat Islam ini dinamakan 'bughah' atau pemberontak)

Berlaku polemik dan kekeliruan berhubung fatwa tersebut kerana ia dilihat berat sebelah. Jika boleh penulis mengupas sedikit isu ini:-

1. Benarkah tujuan perhimpunan tersebut untuk menggulingkan kerajaan. Yang penulis maklum, mereka hanya ingin meluah dan menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga barangan dengan tiada membawa apa-apa senjata. Benarkah pula parang-parang yang dirampas sewaktu perhimpunan tersebut adalah milik mereka?

2. Bagaimana jika pihak polis mahupun orang awam yang tidak bersetuju dengan 'perhimpunan TURUN' menggunapakai fatwa tersebut. Habis semua peserta perhimpunan dibelasah, dicedera mahupun dibunuh atas dasar agama.

3. Mengapa Mufti hanya bersuara di dalam isu-isu yang dibebankan kepada rakyat. Bagaimana dengan ketirisan dan pemborosan yang berlaku dalam khazanah negara oleh pihak pemerintah?

4. Bagaimana dengan perhimpunan konsert-konsert yang dianjur kerajaan sehingga sanggup membayar jutaan ringgit kepada artis Korea.

Kami rakyat marhein sudah semakin keliru. Puak-puak agama menelanjangi dan menghukum rakyat tetapi melepas bebas tangan-tangan di atas. Ikan bilis habis digilis, ikan jerung terus berlaku serong.

Memetik tulisan Dr Asri (bekas Mufti Perlis), "Kita mungkin boleh tidak bersetuju dengan perhimpunan itu tapi adakah patut untuk dihalalkan darah awam sedemikian rupa?" 

Wallahua'lam

Kuasa Hebat

Kuasanya bukan kepalang...menunduk segala hanya dengan sekilas senyum.

Itu sifat mereka dan telah dipandu 'ajaran langit' agar tidak tersasar nafsu anak Adam.

Malang...hilang kewarasan bila 'kuasa' itu muncul. Yang berstatus tinggi, rendah mahupun pertengahan...bagai anak kecil tidak keruan lakunya.

Hilang kredibiliti, hanyut personaliti...hebat sungguh pengaruhmu.

Sering aku membayangkan di sisimu ada 'musuh Allah' yang tidak pernah jemu menyusun strategi.

Ya...jika berdua tidak berdua melainkan hadirmu sebagai yang ketiga.

Aku terus memerhati lantas berhati-hati...WANITA


Friday, 3 January 2014

Bertaraf Elit...kononnya

Aku pernah disoal seseorang seusai mengimamkan solat Zohor di surau syarikat tempatku bekerja. Kisah berkenaan bapa saudaranya yang melukis sebuah gambarajah dan meletakkan surah al fatihah di sudut-sudut tertentu. 

Gambarajah tersebut berbentuk seperti makhluk manusia yang lengkap. Dinyatakan bahawa Bismillah letaknya di sudut ini, Alhamdulillah di sudut yang lain, ar Rahman pula letaknya di situ dan seterusnya.

Soalan beliau:- benarkah wujudnya gambarajah tersebut dan bagaimana untuk memahami letaknya kalimah-kalimah tertentu di tempat-tempat tertentu.

Jawapan ringkasku...

Saya jahil berkenaan perkara-perkara yang tidak saya pelajari. Tetapi saya yakin dengan amalan fatihah dan zikir di lidah...lebih memberi bekas di hati saya.

Apakah dengan cuba memahami gambarajah tersebut boleh melunakkan hati atau makin berkecamuk jadinya jiwa?

Mana lebih aula...memberi penekanan tajwid di dalam bacaan fatihah yang berstatus RUKUN di dalam solat ataupun melayan selok belok rajah bergambar yang entah bikinan siapa!!!

Kami berpisah dalam senyum di bibir...dia mula faham.

Alhamdulillah...

Inilah kelemahan kita...menidakkan yang asas, terus menangkap perkara-perkara pelik yang kononnya bertaraf elit dalam beragama.

Wallahua'lam

Wednesday, 1 January 2014

Keturunan Mulia

Di dalam perbualan seharian, sering kita bercerita tentang peristiwa sekitar...terutama berkenaan sikap seseorang. Sikap yang cemerlang, elok untuk dijadikan panduan. Sikap yang keterlaluan patut dijadi iktibar agar kita tidak menuruti sikap dan tingkah laku yang tersasar dari norma-norma bersosial.

Izin aku berkongsi sedikit tentang skrip-skrip yang menjengkelkan diucap oleh mereka yang agak beremosi bila bercerita. Agak malang, tercetus fenomena mengaitkan sesuatu yang tidak baik terhadap kita bila berbual...secara tidak sedar agaknya.


Sekiranya seseorang melakukan sesuatu yang salah atau memalukan, skrip-skrip ini biasa menerjah halwa pendengaran kita...

"ABANG KAU yang baik sangat tu dah buat hal..."

"KAWAN BAIK KAU tu la yang gatal ngorat pompuan je.."

"ADIK ANGKAT KAU la...sape lagi..."

"MAK TIRI KAU yang ngata aku tadi..."

"SEDARA KAU la yang tak tau buat kerja tu..."

Eerrmmm...entah bila makhluk tu jadi ABANG kita, KAWAN BAIK kita, ADIK ANGKAT kita, MAK TIRI kita mahupun SEDARA kita.

Semua yang tidak baik, dikaitkan dengan genetik kita!

Mulia sangat keturunan dia agaknya...errrmmm ontah laaaahhh. 

Sesama kita FIKIR yeeeee...