Translate

Thursday, 31 October 2013

Kuasa Aura

'WIFI'...apa fungsinya? Membuka laluan untuk eksplorasi ke dunia tanpa sempadan. Hidup bagai tidak keruan tanpanya lewat alaf baru ini. Mengapa kelibat WIFI sentiasa dicari-cari, tentunya kerana manfaat yang boleh didapati dari sumber tersebut. Berita terkini, email, laman sosial, video kegemaran, muzik, blog dan berbagai lagi yang tidak mampu penulis senaraikan.

Pendek kata, kita tidak kisah jika hidup bersendirian kerana hakikatnya kita boleh berhubung merentasi sempadan geografi dunia untuk menghilangkan rasa sunyi...melalui WIFI tentunya.

Analogi kan WIFI dan aura manusia. Manusia yang mempunyai hati bersih dan baik boleh diibaratkan WIFI yang dihidupkan kuasanya. Tidak perlu mencari-cari insan di sekitar untuk memberi khidmat bakti, sebaliknya mereka yang di luar tercari-cari insan ini untuk mendapat nasihat, info-info agama, pandangan mahupun motivasi diri. 

Mereka yang mempunyai 'kuasa aura' sebenarnya adalah mereka yang melatih diri untuk menjadi baik dalam tempoh lama dan panjang. 

Jika Muhammad sebelum dilantik menjadi Nabi berkhalwat di Gua Hira', insan ini akan bermuhasabah diri setiap malam sebelum tidur.

Jika Muhammad seawal peringkat dilantik menjadi Nabi hanya menyampaikan di kalangan mereka yang terdekat, insan ini akan memulakan tazkirah dan ta'lim di kalangan keluarganya dahulu.

Jika Muhammad selepas dilantik menjadi Nabi, kehidupannya menjadi ikutan para Sahabat, insan ini cuba pertahankan segala Sunnah Nabi dalam diam.

Jika Muhammad pernah ditawar pangkat, harta dan wanita agar menghentikan usaha dakwah, insan ini berusaha untuk tidak meminta-minta imbalan di atas usaha dakwahnya.

Di sinilah 'aura' itu wujud. Wujud dalam persekitaran hidup untuk berbakti kepada ummah. Warna aura itu tidak kelihatan tetapi kuasa tarikannya amat hebat sehingga kucing atau burung-burung yang melintas jua boleh mendekati dan tertarik dengan insan ini.

Kehadirannya disenangi.
Kehilangannya ditangisi.
Pemergiannya diiringi doa.
Kata-katanya dihayati.
Diamnya dihormati.
Tulisannya menjadi panduan.

Cuba perhati...entah-entah WIFI bernyawa itu wujud di persekitaran kita. Siapa yang selalu menyenangkan hati kita? Siapa yang mudah untuk kita berurusan dengannya? Siapa yang selalu menghulur bantuan di ketika perlu? Siapa yang kita suka melihat wajahnya? Siapa yang kita selalu mencarinya untuk berkongsi cerita? Siapa yang kita percaya dengan sifat amanahnya? Siapa yang kita kagum dengan penampilannya yang sentiasa tenang?

Jika ciri-ciri di atas terdapat pada seseorang, WIFI bernyawa itu sedang menarik minat dan perhatian sesiapa yang berada di sekitarnya...seperti magnet yang menarik besi.

Insan itu boleh jadi ANDA sendiri!!!

Monday, 28 October 2013

Sarang Labah-labah Menjahilkan Manusia

Labah-labah...sejenis jentera hidup ciptaan Allah yang memiliki lapan kaki dan tidak bertulang belakang (invertebrata). Spesis ini wujud di dunia semenjak 110 juta tahun dahulu, ini dibuktikan dengan fossil labah-labah yang dijumpai di dalam batu amber di Sepanyol. Ini adalah contoh fossil sarang labah-labah tertua pernah dijumpai. Penghasilan benang sutera untuk mencipta rumah bagi memerangkap mangsa menjadikan spesis ini amat unik berbanding jentera-jentera hidup yang lain. 


Apa yang menarik mengenai haiwan ini adalah struktur kediamannya adalah paling lemah berbanding haiwan lain. MENGAPA?

Jangan menyangka bahawa Allah tersilap perhitungan dalam mencipta haiwan ini yang dibekal rumah yang paling lemah...ditiup angin, dirempuh burung, diselak manusia...habis koyak tercarik rumahnya. Dibina lagi, musnah lagi, usahakan lagi membina, runtuh lagi binaan!

Labah-labah dibekal semangat jitu untuk meneruskan hidup. Labah-labah tidak merungut walau rumahnya dalam kategori paling lemah anugerah Allah. Labah-labah akur dan bersyukur walau harus mengganda kudrat dan menanggung sarat.

Surah Al Ankabut (labah-labah) termaktub di dalam Mushaf Al Quran. Mengapa Allah ilhamkan labah-labah dalam KalamNYA yang Agung? Tentu ada sesuatu yang istimewa berkenaan spesis ini.



Labah-labah...cuba kita imbas kembali peristiwa Hijrah Rasulullah SAW. Baginda yang ditemani Abu Bakar telah berlindung di Gua Thur dari perburuan kafir Quraisy. Sekiranya ditemui musuh, akan berakhirlah riwayat insan yang bernama Muhammad.

Tetapi Allah ada cara untuk selamatkan hamba yang disayangiNYA. CaraNYA pula melangkaui pemikiran logik akal manusia yang kononnya berakal! Boleh sahaja DIA hadirkan beberapa ekor singa yang bermastautin di hadapan pintu gua, pasti tiada siapa yang berani mendekati gua tersebut. Boleh juga dikirim sekali lagi burung Ababil yang pernah menghancurkan tentera bergajah Abrahah yang mahu meruntuhkan Kaabah. Atau boleh Allah datangkan ribut pasir bagi menyapu bersih musuh-musuh yang ditawar 100 ekor unta sekiranya dapat membunuh Nabi Muhammad SAW...tetapi bukan begitu perancanganNYA.

Gua Thur
Allah tidak gunakan konsep ekstrem dalam misi itu. DIA hanya mainkan minda manusia dengan sesuatu yang lemah iaitu diilhamkan kepada labah-labah untuk membuat rumahnya di pintu gua sebaik sahaja Rasulullah dan Abu Bakar memasukinya. 'Psikologi Songsang' memain peranan, logik akal menerima keadaan itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal untuk mengatakan ada seseorang yang sedang bersembunyi di dalam gua tersebut. 

Itulah peranan haiwan kecil yang bernama labah-labah!!!

Allah juga memberi mesej kepada manusia bahawa tiada satupun ciptaanNYA yang tidak memberi manfaat. Dalam menghadapi situasi hidup dan mati itu, dipilihnya sarang labah-labah yang berkategori lemah untuk menjahilkan akal manusia.

Bergantunglah sepenuhnya kepada Allah kerana betapapun hebat manusia, akal mereka tetap berada dalam genggamanNYA.

Akal manusia yang hebat dimalukan oleh SARANG LABAH-LABAH!

Sunday, 27 October 2013

Jahil Dalam Berilmu


Islam amat mementingkan ilmu justeru ayat pertama yang diturunkan kepada sekalian manusia ialah Iqra'. Mengapa Allah menyeru manusia untuk membaca? Mengapa tidak diserukan sahaja manusia untuk mendahulukan solat, puasa mahupun syariat-syariat yang diwajibkan. Bukankah patut diberi prioriti kepada perkara-perkara wajib tersebut?

Di sinilah Allah meletakkan ilmu di tahap tertinggi kedudukannya berbanding solat, puasa, berzakat dan menunaikan haji. Mari kita menyelam sedikit ke dasar lautan separas 100 meter.

Untuk solat, kita wajib mengetahui segala bacaan dan ayat-ayat tertentu yang dilafaz, teknik, rukun qalbi, qauli dan fi'li. Sekiranya solat dilakukan tanpa mengikut adab tertib dan peraturannya, nescaya amalan itu tertolak tanpa sebarang perhitungan. Nyata...praktik solat bermula dengan membaca, berilmu dan baru dilaksanakan.

Begitu juga dengan amalan-amalan wajib yang lain. Ilmu umpama pembuka jalan untuk kita mematuhi Syari'atullah...baharulah tercatat segala amalan yang dilaksanakan di buku catatan masing-masing.

Baik....kita selam lagi ke dasar 200 meter kedalaman laut. Apa yang kita dapati? Banyak khazanah-khazanah laut yang boleh diteroka dan boleh dibuat kajian tentang kejadian-kejadiannya. Jika mahu dianalogikan dengan membaca, bacaan yang banyak akan memberi muatan yang lebih dalam minda kita. Kita mula menganalisa sesuatu perkara menurut kemampuan akal fikiran. Semakin banyak bahan bacaan, semakin sarat kita berfikir tentang keadaan sekeliling. Maka bercambahlah inovasi-inovasi yang dicipta bagi merealisasikan penggunaan ilmu yang dimulai dengan Iqra' itu.

Masih belum dalam lagi...kita luncurkan lagi seluruh tubuh untuk mencapai kedalaman 500 meter di bawah paras laut. Nampaknya kita sudah berada di tahap menjumpai harta-harta karun yang bernilai. Jika mahu dinilaikan dengan ilmu, kita sudah mampu menyelesaikan permasalahan rakan di sekeliling, boleh memberi idea-idea yang bernas dan hadirnya kita memberi manfaat kepada yang lain.

Itulah ilmu yang dimulai dengan mengenal huruf dan mempelajari subjek-subjek tertentu.

Tetapi jangan terperanjat sekiranya mereka yang berilmu itu bakal dihumban ke dalam neraka. 

Mari kita selami persoalan ini...
Ulama-ulama salafi memiliki ilmu yang tinggi sehingga ke tahap 'genius'. Mereka mampu berijtihad dalam perkara-perkara baru untuk kemaslahatan umat. 

Di tahap 'amat cemerlang' itu cuba lihat apa kata Imam Shafie, "Sekiranya kamu menjumpai Nas dari al Quran dan Hadis tentang ijtihad aku ini, tinggalkanlah apa yang aku ijtihadkan dan ambillah dari sumber al Quran dan Hadis itu".

Imam Hanafi apabila diajukan persoalan yang beliau tidak arif, beliau hanya menjawab, " saya tidak tahu'. Beliau sedar bahawa jawapan yang diberi di dalam keadaan beliau tidak arif itu bakal menjadi ikutan masyarakat. Jika salah perhitungan, mereka akan mengikut perkara yang salah. Itu yang cuba dielak oleh Imam Hanafi. Nyata, ilmu itu yang menjaga kewibawaan seseorang. 

Bagaimana dengan keadaan kita sekarang? Ilmu baru sejengkal cuma, sudah berbalah menegakkan hujah. Habis ditolak segala yang tidak selari dengan pendapatnya. Mentang sudah ke tahap 'Master', memandang rendah pendapat yang lain. Mencari ilmu pula untuk kepentingan duniawi, mengejar pangkat dan kedudukan. 

Ditambah dengan sikap kita yang sombong dan berbangga-bangga dengan status ilmu yang dimiliki. Dipamer-pamer foto pengijazahan dari Universiti-universiti. Tidak cukup dengan itu, dibeli pelekat metal atau besi untuk ditayang di kereta (bagi menunjukkan dia kelahiran Universiti Wisconsin, Ohio dan sebagainya).

Hilang keberkatan ilmu, timbul rasa riak dan berbangga-bangga dengan ilmu. Spesis begini hanya tidak mempelajari satu ilmu yang boleh menyelamatkan dirinya di akhirat iaitu 'ilmu jiwa'. Ilmu yang mementingkan sikap, akhlak, jatidiri, disiplin, tingkah laku juga hubungan sesama makhluk.

Ilmu ini tidak dibangunkan modulnya di sekolah mahupun di Universiti-universiti. Ia hanyalah latihan diri menuju kepada kesempurnaan kerohanian. Ia perlu kepada renungan, pemikiran, muhasabah, perbandingan dan rendah hati. 

Baginda Rasul di dalam proses untuk mengembangkan syiar Islam telah mengasingkan diri di Gua Hira' bagi mengenal Pencipta dan diri sendiri. Baginda meneroka kejadian alam dan kejadian diri...setelah lengkap jatidiri, turunlah Malaikat Jibril untuk menganugerahkan tugasan yang sehingga kini tidak padam sinarnya...itulah cahaya ISLAM yang syumul.

Betulkan niat, luruskan hati untuk mempelajari ilmu agar natijahnya tidak mengecewakan kita di sana nanti...kerana salah satu sedekah jariah yang tidak putus pahalanya walau jasad ditelan bumi ialah ILMU YANG BERMANFAAT.

Wallahua'lam

Wednesday, 23 October 2013

Tewas Bermaruah

Di dalam sebuah permainan bolasepak, anda mewakili salah sebuah pasukan yang bertanding bagi merebut kedudukan terbaik liga. Pasukan anda telah mendapat kemenangan mudah dengan jaringan gol yang amat banyak membolosi gawang pasukan lawan yang berstatus 20-0!


Aizul Hasni Awang
Ya...sudah tentu pemain-pemain yang mewakili pasukan anda tidak bermain bermati-matian kerana boleh dikatakan tiada cabaran langsung dari pihak lawan. 

Apa perasaan anda dengan kemenangan mudah itu? Tiada impak maksima dan tidak mencapai 'utiliti marginal' tentunya. Apa ceritanya jika setiap perlawanan yang pasukan anda tempuh dilalui dengan kemenangan mudah...bosan!!!

Bayangkan pula pasukan anda berhadapan dengan lawan yang tegar, perlawanan sengit itu berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan. Tendangan penalti mengambil tempat untuk menentukan juara. Pasukan anda tewas dengan jaringan 5-4.

Apa perasaan anda di ketika itu? Tentu kecewa di atas kekalahan tipis. Ya...di atas kertas, pasukan anda tewas tetapi dari segi psikologinya, pasukan anda tewas secara bermaruah!




Soalan: Anda memilih 'menang mudah' atau 'tewas bermaruah'? 

Mari kita beranalisa.

Jika 'menang mudah' menjadi pilihan, kita merupakan seorang yang tidak sukakan cabaran dalam hidup. Disebabkan tidak suka memikir perkara yang berat-berat, minda kita banyak terisi dengan hal-hal yang kecil dan remeh-temeh. 

Inilah kelemahannya. Apabila yang remeh-temeh banyak mengisi ruang minda, tentunya kita tidak berkesempatan meneroka banyak perkara-perkara baru yang wujud di sekitar. Jadilah kita manusia pasif yang hanya menunggu hadirnya hari esok dalam rutin yang sama. Menurut perkiraan ringkas, serasa kita telah memenangi situasi yang tidak bermasalah tetapi keadaan itu sebenarnya mendatangkan implikasi negatif ke atas kehidupan dan masa hadapan.

Kita tidak mampu ber inovasi apatah lagi ber evolusi. Cabaran dirasa menyusahkan hidup. Kita tidak pernah berani membuka lembaran-lembaran Hadis menukilkan betapa peritnya Rasulullah SAW mengharungi kehidupan sebagai seorang Rasul dan Nabi.

Bermula dari penghinaan demi penghinaan penduduk Quraisy Mekah sehinggalah berlaku beberapa siri peperangan dan berakhir dengan Fathu Mekah dengan tidak menumpahkan setitis darahpun. Itulah cabaran dakwah yang ditempuh oleh Kekasih Allah.

Kita beralih dengan pilihan kedua pula iaitu 'kalah bermaruah'.

Pilihan ini merupakan ciri-ciri yang sukakan cabaran dalam hidup. Hidupnya tidak statik malah berlaku peningkatan demi peningkatan dalam laluannya menuju akhiran hidup.

Dia cuba melahirkan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada insan-insan di persekitaran. Hidup dirasa hambar tidak berdaya saing sekiranya rutin sama yang harus ditempuhnya setiap hari.

Sirah Rasulullah dijadikan panduan dan galakan dalam mengimplementasi gaya hidup seharian. Sekiranya dia tewas mahupun idea-ideanya tidak diterima pakai, dia tetap berasa puas kerana telah mengambil bahagian dalam mengusulkan sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan. Mungkin di saat itu ada idea yang lebih baik dan dia berlapang dada menerima keputusan itu.
Itulah analogi hidup. Hidup perlukan sesuatu yang baru untuk ditempuh bagi membentuk tahap kepuasan tertentu. Semakin sukar jalan hidup, semakin puas rasanya ditempuh. Semakin banyak cabaran, bertambah matang dan tegap kita berdiri untuk mengendalikannya. 

Apa berlaku jika saban hari kita tempuh rutin yang sama tanpa ciri-ciri perubahan. Bangun pagi pergi kerja...tugasan yang sama ditempuh. Tunggu arahan dari ketua jabatan, diarah...baru bergerak. Macam pahat yang mengetuk-ngetuk penukul.

Hidup bakal menempuh bosan dan kaku. Bagi menghilangkan warna pucat itu, dicari teman-teman lain untuk bersosek-sosek dan ber 'propaganza'. Itulah tradisi turun-temurun bagi yang tidak sukakan cabaran dalam hidup.

Berbeza dengan masyarakat Barat. Mereka cintakan cabaran lasak. Mereka ingin merasa peningkatan 'adrenalin' dari hari ke hari. Kepuasan timbul bila masalah dapat diatasi apatah lagi dengan inovasi-inovasi yang dicipta yang boleh dimanfaatkan oleh banyak pihak.

Tempuhlah cabaran dan jangan lari dari masalah. Masalah sebenar adalah datang dari kita yang longlai menempuhnya. Jika tewas, biar dengan cara bermaruah iaitu jika telah sehabis daya cuba mengatasinya tetapi takdir tidak seperti mana yang diharap, akurlah dengan keputusanNYA.

Janganlah berasa selesa mengelak-elak untuk tempuh masalah kerana kesannya hidup itu tidak lagi ceria...hanya warna pucat dan hambar yang menanti. Menempuh cabaran itu juga merupakan Sunnah, jika tarafnya Sunnah...sudah pasti pahala Sunnah menjadi ganjaran.

Relakan diri tewas dalam konflik cabaran tetapi pastikan dengan cara bermaruah!



Saturday, 19 October 2013

Akukah 'blogger' itu?

'Blogging to unblock' merupakan 'tagline' blog Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke empat. Blog beliau telah mendapat tajaan iklan memberi mesej bahawa sambutan ke atas blog Che Det (Dr Mahathir) dalam kategori 'terhangat'.

Jika boleh ditafsir makna 'blogging to unblock' menggambarkan penulisan (blogging) Tun mempunyai visi yang jauh untuk pembangunan negara Malaysia. Beliau mahu menghapuskan segala sekatan-sekatan (unblock) yang bersarang di minda rakyat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju yang berdiri di atas tonggak demokrasi berparlimen.

Beliau banyak mengupas isu-isu terkini dalam negara mahupun di arena antarabangsa. Beliau tidak berselindung dalam mengeluarkan pandangan terutama yang menyentuh soal hak dan keadilan.

Lihat pula blog Dr Asri Zainul Abidin (mantan Mufti Perlis). Dikategorikan dalam hal-hal keagamaan, menjelaskan lagi bahawa beliau mewakili Ulama' kontemporari. Beliau telus dalam menyuarakan pendapat dan sikapnya yang tidak memihak menggerunkan segala salah laku yang melata di persekitaran. Tidak kira di mana isu itu berdiri, samada di pihak kerajaan yang memerintah mahupun parti-parti pembangkang, dalam kapasiti total Islam mahupun separa Islam...habis semuanya ditelanjangi oleh tulisan-tulisan beliau. 

Posisi beliau yang tidak mewakili mana-mana parti politik menjadikan beliau berstatus bebas dan merdeka dalam menyuarakan pendapat, pandangan mahupun kritikan.

Hanis Zalikha. Seorang blogger yang mana blognya telah menghimpun lebih dari tiga ribu 'pengikut setia' dan beliau juga telah dipinang dunia artis untuk menjadi pengacara sebuah rancangan hiburan di atas pakej sempurna yang dimiliki. Apa pengisian blog beliau? Lebih berupa penjagaan diri secara feminin, pemakanan, kostum dan segala yang berupa kecantikan diri.

Banyak lagi lambakan blog-blog terdampar di dunia cyber yang menukilkan citarasa 'blogger' dalam menginterpretasi segala yang terbuku.

Itulah dunia 'blogger'. 

FAQ:-

1. Apa yang diingini oleh penulis blog? 

Mereka ingin menyampai mahupun berkongsi sesuatu dalam gaya tulisan. Banyak cara untuk seseorang berkongsi minat atau meluah penat dengan yang lain. Mereka bervokal secara berdepan, menerusi talian, lakaran lukisan, berpiket mahupun secara penulisan.

Blog merupakan 'platform' terkini untuk berkongsi segala yang perlu. Biasanya mereka yang mempunyai blog dianugerahi bakat penulisan yang diterjemah dengan gaya bahasa tersendiri.

2. Adakah benar jika kita ingin mengenali latar belakang seseorang maka ianya boleh dicapai melalui blog? 

Ya...tidak dinafikan bahawa itu salah satu caranya kerana di situ berkumpulnya segala fakta tentang diri 'blogger'. Kecenderungan, gaya hidup, sikap dan sifat, prinsip dan pendirian, minat dan hobi juga sensitivitinya...segalanya diluah melalui penceritaan di laman blog.

3. Adakah 'blogger' boleh menyembunyikan dirinya setelah memasarkan isu-isu panas dan terkini? 

Tidak...penulis blog sebetulnya amat bertanggungjawab (seharusnya begitu) di atas segala yang dipapar di dunia cyber dan laman blognya boleh menjadi bukti penting untuk meletak segala dakwaan ke atasnya.

4. Mengapa meluah di dalam blog? 

Kerana seseorang itu mahu dunia tahu apa yang berlaku di persekitaran melalui kelebihan-kelebihan ilmu yang menjadikannya berkebolehan dalam mengupas sesuatu isu. Mereka juga teruja untuk berkongsi ilmu dalam menyedarkan masyarakat tentang permasalahan yang dianalisa dengan pencarian fakta yang betul.

Method penyebaran maklumat melalui blog adalah amat efisien berbanding ceramah umum mahupun bercerita santai di kedai-kedai kopi.

5. Mengapa segelintir 'blogger' tidak membenarkan ruangan komen dicapai? 

Ini mungkin kerana mereka tidak betah dengan lontaran pujian mahupun kejian ke atas apa yang ditulis. Baginya, itu hanyalah pandangan peribadi yang tidak memerlukan penghargaan ataupun perdebatan serius yang memungkinkan pertelagahan di antara komenter dan penulis mahupun sesama komenter. Bagi 'blogger' jenis ini, kesudian masyarakat membaca dan mengambil iktibar atas apa yang ditulis, sudah cukup memadai untuk mereka teruskan aktiviti penulisan itu.

6. Mengapa ada 'blogger' yang menyekat ruangan 'pengikut setia' di blognya? 

Mungkin kerana mereka mahu menghilangkan rasa berbangga-bangga dengan pengikut yang ramai (jika ada) yang tertera jelas di laman blog, atau mereka malu jika tiada langsung sambutan masyarakat yang ingin menjadi 'pengikut setia' mereka.

7. Jika tidak mahu berbangga dengan kapasiti 'pengikut setia', mengapa dipaparkan statistik 'angka lawatan' di laman blog mereka?

Statistik lawatan ke laman blog itu penting sebagai strategi menarik minat pengunjung baru untuk membaca artikel-artikel yang dipapar. Statistik yang meningkat dari masa ke semasa mempengaruhi pengunjung bahawa laman blog tersebut mempunyai daya tarikan tersendiri untuk diterokai.

8. Apa yang 'blogger' capai hasil dari penulisan tersebut? 

Kepuasan berkongsi ilmu untuk disampai dan dimanfaatkan bersama. Juga kelegaan menyuarakan pendapat dan pandangan untuk difikir bersama.

9. Bagaimana untuk kita ketahui bahawa seseorang itu mempunyai laman blog?

Biasanya 'blogger' akan mempromosi blognya di laman-laman sosial seperti FB dan Twitter. Selain dari itu, nama-nama laman blog itu secara automatik akan tertera di enjin carian internet.

10. Adakah wujud blog EVOLUSI JIWA?

Aaarrr..eermmm..itu blog saya, sudi-sudilah berkunjung ye hehe...



Monday, 14 October 2013

Pelukis dan Kanvas Putih



Hidup adalah anugerah Allah bermula dari perlumbaan sperma menuju destinasi. Hidup juga mempunyai matlamat yang telah digariskan di dalam Syariat Muhammad. Bila bermulanya kehidupan maka warna-warni cerita mengambil tempat.

Cerita itu merupakan pilihan kita. Ibarat seorang pelukis yang sedang berhadapan dengan kain kanvas putih bersih. Sebelum memalit warna di atasnya, pasti sipelukis sudah tergambar segala kehendaknya. Objek apa yang hendak dilakarnya, konsep apa yang mahu diterjemah, warna apa yang banyak memain peranan.

Pelukis boleh meminta pandangan yang lain tentang konsep lukisannya tetapi tidak boleh menyalahkan pandangan itu sekiranya lukisan sudah lengkap. Sipelukis sendiri yang harus bertanggungjawab atas lakaran itu kerana segalanya terletak di tangannya.

Apabila lukisan siap dan hasilnya tidak memuaskan hati, boleh sahaja sipelukis mengoyakkan kanvas itu dan memulakan hasil seni yang lain...yang lebih berkualiti dan menarik. Atau mungkin dipamerkan sahaja hasil yang tak seberapa itu untuk tatapan pengunjung...tetapi amat berisiko kerana mungkin tiada siapa yang berminat untuk melihat apalagi membelinya.

Itulah realiti kehidupan...

Kita berhak atas kehidupan sendiri. Kita yang menentukan warna dan corak kehidupan itu. Buruk dan baik perancangan dan perlaksanaan segalanya terletak di tangan sendiri. Kita sendiri sudah boleh membayangkan kesan ke atas apa yang bakal dilakukan. Jika niat baik itu hadir, Insyaallah hasilnya pasti baik. Begitu juga sebaliknya, kesan buruk bakal menanti jika seawal niat tidak mengikut garis panduan syarak.

Mintalah pandangan sesiapapun kerana perlaksanaannya tetap di tangan kita. Kita yang bertanggungjawab di atas sebarang keputusan. Lihat pula siapa rujukan kita dalam meminta pandangan. Adakah berlandas syarak atau berkiblat nafsu dan emosi. Jangan salahkan sesiapa jika buku catatan amal diserah ke tangan kiri di Padang Mahsyar nanti. Allah telah menukilkan di dalam KitabNYA bahawa syaitan akan berlepas diri dari segala macam dakwaan manusia.

Di pertengahan kehidupan yang kotor, mungkin kita tersedar dari alpa dan mula mencari lorong sinar. Dibuang warna-warna hitam yang terpalit untuk dibuka lembaran baru kehidupan. Alhamdulillah di atas hidayah pemberianNYA selepas timbul kesedaran lantaran lama mencari.


Apa kisahnya jika kita terus-terusan leka dan hanya berpuashati dengan amalan yang tak seberapa...amat-amat berisiko keadaan itu kerana ditakuti kuantiti dosa melebihi pahala dan Allah tidak memandang amalan-amalan yang dilakukan secara semborono dan sambil lewa.

Kita lahir ibarat sehelai kain kanvas yang putih bersih tiada sebarang calitan warna. Kita juga yang akan menentukan corak warna yang bakal dipamer di atas kain itu.

Pelukis itu adalah kita. Kain kanvas itu mewakili buku catatan amal yang bakal diserah di hari yang penuh mencemaskan. Jadilah pelukis yang cemerlang dalam pewarnaan cerita agar warna-warni lukisan itu bakal menarik minat penduduk langit untuk menjemputmu secara penuh berhemah.

Carilah redhaNYA walau sesaat hidup berbaki kerana timbangan amal itu amat tepat dan tidak meninggalkan perkiraan walau sebesar biji sawi. 

Selamat mencari...


Saturday, 12 October 2013

Selamat Malam Semua



Hari sudah semakin melabuhkan tirai terang. Matahari tanpa mungkir, taat mengundurkan diri bagi memberi khidmat bakti ke pelusuk lain. Mergastua yang dibekal kompas naluri berterbangan balik menuju sarang tanpa khilaf. Perlahan-lahan mega merah di kaki langit mengambil posisi, menyerlahkan lagi keindahan alam yang dicipta.
Keadaan yang terang benderang beransur kelam...yang bakal menenggelamkan ego seseorang. Seseorang yang dicipta untuk menyembah yang SATU. Seseorang yang diberi tugasan sebagai khalifah di muka bumi. Seseorang yang disandarkan amanah untuk mentadbir dunia menurut 'Transkrip Langit'.

"Apa rutin hidupku? Hari-hari berlalu serasa sama tanpa ada peningkatan ilmu-ilmu agama".

Hati mula berbisik. Sekilas menerjah imej-imej haiwan yang melata di landskap muka bumi. Rutin hidup haiwan...makan, minum, bersosial , tidur dan mengawan. Jika kedapatan masalah sesama mereka mahupun gangguan dari anasir-anasir luar, terus dilancar serangan balas tanpa sebarang kompromi. Tiada undang-undang dalam dunia haiwan, yang wujud hanya perebutan wilayah, kuasa, segalanya terletak kepada mainan nafsu dan emosi tanpa perhitungan akal.

Wajib bagi haiwan menterjemah kehidupan mereka sebegitu...kerana sememang mereka dicipta untuk rutin yang diilhamkan Penciptanya. Tiada siapa yang akan menyalahkan haiwan jika mereka merempuh pagar tanaman demi mengisi perut. Tiada siapa yang menuding jari kepada haiwan jika najisnya bersepah di sana-sini. (Tetapi manusia yang berakal pernah mengatakan lembu itu bodoh!)
Aku? Hanya mencari makan bila lapar? Minum bila dahaga? Habiskan waktu lepak di Bistro bersosial bersama teman? Berkawan dengan wanita tidak berbatas dan tak kira apa status mereka? Tidur bila letih? Menyerang balas mereka yang tidak sependapat denganku? Jadi APA BEZA AKU DAN HAIWAN?

Mega merah tampak semakin pudar...kegelapan mula bertandang. Jika tidak dicipta lampu, manakan nampak objek walau sejengkal di hadapan. Ilham itu hadir lagi...hati yang gelap mana mungkin dapat melihat kebenaran walau bukti jelas tertera di hadapan mata...al Quran dan Sunnah.

Bumi, bulan, matahari taat dalam bertawaf tanpa henti. Tidak terleka mereka dalam landasan pusingan yang telah ditetapkan. Apa jadi jika mereka engkar? Habis semuanya berlanggaran sesama sendiri...tetapi waktu perlanggaran itu tetap akan tiba, kita sahaja yang teraba-raba mencari arah.

Anak isteriku sudah lama dibuai hayunan mimpi. Entah apalah layanan mimpi mereka kali ini. Jangan pula mereka bermimpi menarilk aku ke belakang di akhirat nanti atas alasan mereka tidak mendapat panduan dariku. Aaahh...ini menyedarkan lagi aku untuk tidak meninggalkan mereka tanpa asas-asas agama.

Aku? Aku masih lagi menyepi. Sepi sendirian memikir penanggungan yang harus dijawab nanti...risau tak terjawab segala apa yang bakal dihidang di hadapan mata. Segalanya akan dipertontonkan di khalayak manusia di Padang Mahsyar...malu rasanya jika dosa yang sarat ditayang.

Aku mula bermuhasabah diri, mencari-cari beza diri dan makhluk yang tidak diberi akal. Tiada beza aku dan haiwan atau terselit di sana-sini karektor buas dalam diri. Mencipta Malaikat dalam diri atau menjemput Syaitan merajai diri. "Aahh...ini diri aku...aku yang perlu menentukannya", tonasi suaraku tidak kedengaran lagi.

Fikiranku sedikit demi sedikit mula menerawang hilang...mengantuk mula bertamu. Rasa mengantuk juga adalah nikmat Allah kepada makhluknya...terimakasih ya Allah atas nikmat tidur yang Kau anugerahkan ini. Sekiranya tidurku ini merupakan yang terakhir yang Kau pinjamkan, kupohon agar Kau terima segala amalku. Jangan kau hitung bilangan amalan itu kerana ianya tidak sepadan dengan apa yang telah Kau anugerahkan kepadaku. Sebaliknya terimalah aku dalam redhaMu. Juga ampunkan segala dosa-dosaku kerana bahang api yang kau pinjamkan sepanjang kehidupanku di dunia sudah cukup tidak tertanggung panasnya...apatah lagi bakaran nerakaMu di sana!

Keadaan semakin gelita...mataku mula terkatup rapat. Sekiranya MalaikatMU menjemputku sewaktu mimpi bertandang, tentu tiada kaum keluargaku yang menyedarinya. Entah siapalah yang akan mengajarku kalimah LAA ILAA HA ILLALLAAH sewaktu nazakku! Aku hanya berserah atas amalanku yang tak seberapa.

SELAMAT MALAM SEMUA...andai ini malam terakhir, kupohon maaf dari kalian semua...kerana itu syarat yang diberi oleh haruman syurga untuk menghampirinya.

Aku ingin ke syurga bukan kerana aku amat kepingin dan terpesona dengan kehebatannya (walau rasa itu ada) tetapi kerana gentar dan tidak sanggup untukku walau berada di pintu neraka.

Bunyian cengkerik mengiringi lenaku. SELAMAT MALAM SEMUA...

Friday, 11 October 2013

10 'Afiat



Kerap kita dengar perkataan 'sihat wal'afiat' yang ditujukan kepada seseorang memberi mesej kita mendoakan kesejahteraannya. Kita acapkali menggandingkan 'wal'afiat' dengan 'sihat'. Tetapi apa sebenar yang dikatakan 'afiat' itu? Apakah sekadar sihat tubuh badan dan dapat menjalani kehidupan seharian seperti biasa?
'Afiat itu melebihi dari apa yang kita ucapkan. Ia adalah anugerah Allah kepada yang terpilih. Siapa yang terpilih? Tentulah hamba-hambanya yang taat dan bertakwa. Siapa yang taat dan bertakwa itu? Definisi taat dan bertakwa itu tidak tertakluk kepada segala macam kaitan duniawi. Ia hanya semata-mata berlandaskan hubungan degan Allah. Dunia dan seisinya hanya menjadi alat perantaraan untuk menuju takwa.
Hamba yang taat dan bertakwa bakal menerima anugerah 10 'afiat yang dijanjikan Allah. Lima jaminan di dunia dan lebihan lima lagi untuk bahagian akhirat.

Bahagian di dunia;

1. ILMU
Mereka yang bertakwa akan diberi ilmu dan ilmu itu pula akan digunakan untuk dikongsi bersama. Mereka akan sibuk untuk 'menyampaikan' kepada yang lain tanpa perkiraan habuan dunia.
Mungkin yang terpilih tidak sehebat gelaran IJAZAH , MASTER mahupun PHD di atas kertas tetapi kepetahannya berbicara mahupun kecerdasan akal yang boleh menyelesaikan pelbagai masalah meletakkan dirinya setanding dengan yang lain.
Ilmu Allah tidak tertakluk kepada hukum dunia. Lihat sahaja Baginda Rasulullah SAW yang sehingga ke akhir hayatnya berstatus 'ummi' (buta huruf). Jika dipakai logik akal, mana mungkin seorang buta huruf boleh berjaya sehingga boleh menakluk dunia dan memberi motivasi kepada generasi selepasnya.
Lihat pula Nabi Khidir yang diberi ilmu LADUNI yang bisa meneroka masa hadapan yang belum berlaku...HEBAT ilmu Allah.


2. IBADAH
Hati akan sentiasa terpaut untuk melakukan kebaikan walau dalam keadaan senang dan sukar. Yang terlihat di mata bukannya kesukaran tetapi kesyukuran yang tinggi untuk melakukan amal ibadah. Dia berdakwah bukan hanya semata mengucap kata-kata baik tetapi ditonjolkan melalui diri dan perbuatannya ciri-ciri ISLAM sebenar untuk dijadikan ikutan dalam keadaan tidak melampau.

3. REZEKI HALAL
Salah satu rahsia sejahtera hidup adalah pencarian rezeki dari sumber yang halal. Jika rezeki itu berbentuk makanan, ia akan membentuk peribadi yang mulia dan terelak dari konflik sesama makhluk.
Jika rezeki itu berbentuk harta benda, ia kekal menjadi milik kita dan ia semakin bertambah dari tahun ke tahun.
Jika rezeki itu berbentuk anak pinak dan keturunan, ia membentuk keserasian dan keharmonian sesama kaum keluarga.

4. SYUKUR NIKMAT
Jika diberi nikmat, tidak mengalpakannya dari melakukan amal ibadah malah semakin mahu ditambah amal-amal yang lain atas kesempatan yang diberi olehNYA.

5. SABAR ATAS BALA
Jika ditimpa musibah, dia redha dan tabah malah bersyukur kerana Allah memberi kekuatan kepadanya untuk menempuh kesukaran itu. Sifat sabar menjadikannya sentiasa tenang dalam apa jua keadaan.
Bahagian di akhirat;

6. MATI DALAM KEADAAN TENANG
Pernah penulis mendengar perkhabaran tentang seseorang yang hampir nazak terlihat Malaikat berbondong-bondong turun dari langit menuju ke arahnya...bagi mengalu-alukan kehadirannya ke alam penduduk langit.
Matinya tiada musuh, tidak meninggalkan hutang malah menjadi tangisan bagi mereka yang berasa kehilangannya atas kebaikan-kebaikan yang dilakukan.

7. MUDAH MENJAWAB SOALAN KUBUR
Menjadi satu bala apabila lidah kelu untuk menjawab pertanyaan Munkar dan Nankir. Cara hidup kita di dunia yang menentukan kehidupan fasa ke 3 di alam barzakh. Jika REDHA dan 'AFIAT Allah menemani kita sewaktu hidup, Insyaallah ia akan berterusan di alam kubur...mudah untuk kita menjawab segala pertanyaan Malaikat.

8. TENANG DI MAHSYAR
Gambaran yang diberi sewaktu perkumpulan di Padang Mahsyar...amat mencemaskan sesiapa sahaja. Para Rasul dan Nabi sendiri tidak terlepas dari rasa cemas itu.

Kedapatan mereka yang bermandi peluh kepanasan dan berenang di dalam peluh sendiri dek kerana jarak matahari yang amat hampir. Tetapi Allah akan memberi rasa tenang kepada yang terpilih di saat-saat cemas itu.

9. AMALAN DITERIMA
Tiada yang lebih membahagiakan apabila buku catatan amalan diterima melalui tangan kanan...mesej Syurga sedang menanti. Ada yang beramal tetapi ditolak di akhirat kerana tidak disertai keikhlasan...dirasa ikhlas rupanya sekelumit rasa mengharap balas yang mencacatkan amalannya.

Selangkah lagi mahu ke gerbang syurga tetapi ditarik ke belakang oleh anak isteri yang tidak dihirau...asyik dengan amalan sendiri, tertolak amalan ini.

10. MELINTAS TITIAN SIRAT SEPANTAS KILAT
Inilah akhiran penantian yang menentukan nasib seseorang. Amat-amat tidak berbaloi sekiranya hidup di dunia dalam lingkungan purata umur 50 tahun berakhir dengan bakaran api neraka beribu-ribu tahun.
Jika sakit di dunia, Insyaallah sembuh selepas berubat. Jika mati di dunia, mati itu hanya sekali. Tetapi sakit di akhirat berulang-ulang kali ditempuh. Tertanggal kulit dan isi, bercantum kembali untuk bakaran seterusnya...tidak mati-mati disiksa.
Yang diberi 'afiat akan berbahagia dengan lintasan titian sirat sepantas kilat.

Duduk sendirian, berbicaralah dengan hati sendiri. Sejauh mana usaha kita untuk bekalan kehidupan fasa ke 4...kehidupan tanpa noktah...infiniti.

Jangan hanya mengharap sihat wal'afiat tubuh badan. Gapailah 10 'Afiat anugerah Allah itu.

RENUNG...

Sunday, 6 October 2013

Suara Hati



Hidup perlu bersosial, berhubung jua berkomunikasi sesama insan. Jangankan manusia, bersama haiwan dan tumbuhan juga kita boleh luangkan waktu untuk berbicara searah tanpa jawapan...terapi minda. 

Apa kisah sekiranya kita tidak berbicara seharian...hanya bermonolog sendirian di dalam hati, tiada teman, tiada kawan...hanya sendirian. 

Penulis pernah menghadiri kursus 'leadership skill' yang mana fasilitatornya merupakan seorang yang berbangsa India tetapi amat petah berbicara diselang seli loghat Perak. Katanya, dia pernah merasai bekerja sendirian selama beberapa minggu..."saya hampir jadi gila dibuatnya kerana takde kawan nak borak".

Itulah realitinya...hidup perlu teman bicara kerana memang fitrah manusia begitu. Adam dicipta berseorangan, lengkap mewah segala keperluan atas limpahan nikmat syurga tetapi mengapa masih berasa sepi? Adam tidak mengadu tetapi Allah tahu...lalu Allah cipta Hawa. Biologi yang tercipta dari rusuk kiri Adam. Lengkaplah kehidupan Adam bersama pasangannya.

Teman hidup, jiran, sahabat karib, teman sekerja...semuanya berunsur kepada komunikasi dua hala. Hubungan yang dibina pula terpulang kepada interpretasi masing-masing. Ada yang ikhlas bersahabat, ada yang biasa-biasa sahaja, ada yang mempunyai agenda, ada yang mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu.

Hubungan ikhlas - dibina dengan penuh rasa kasih sayang sesama makhluk. Bertemu dan berpisah adalah keranaNYA. Memberi bukan untuk menerima kerana dia tahu Allah yang akan membalasnya. Jika lama terpisah dan berkesempatan berhubung, hubungan itu serasa mesra tanpa apa-apa kepentingan dan permintaan.

Pernah penulis dihubungi seseorang yang lama menyepi. Menyepi atas desakan kerja mahupun perniagaan. Penulis faham situasi itu dan hanya mengiyakan sahaja senario yang berlaku. Tiba-tiba dia muncul dengan intro panggilan di hujung talian. Alhamdulillah, dia masih mengingati penulis tetapi berlaku sesuatu yang tidak selesa selepas lama berbual.

Dia kepingin sesuatu...sesuatu yang memberi manfaat kepada perniagaannya. Sesuatu yang berasaskan kepentingan diri. "Hubungan apa ini? Dah lah lama tak jumpa, banyak pula kepentingan peribadi yang diselit", detik hati penulis. Apa yang dimintanya pula merupakan rahsia-rahsia syarikat yang boleh melonjakkan perniagaannya. Diri yang tadinya berasa dihargai terus terjelupuk jatuh menyembah bumi. 

Boleh sahaja penulis meminta imbalan atas info-info penting yang didedahkan tetapi berintegritikah amalan itu? Amanah syarikat menjadi pertaruhan dan integriti diri dirobek ganas.

Tidak...bukan itu yang penulis mahukan.
Kita berkawan atas dasar apa? Kita bersahabat atas faktor apa? Kita berhubung atas nama apa? Jika segalanya tidak berlandas atas nama Allah, maka ia akan jadi sesuatu yang tiada nilai langsung di sisiNYA.

Sahabat penulis itu sebenarnya telah mengecewakan hati seorang insan yang mencari sebuah kejujuran dalam persahabatan. Berhubung, bertemu dan berpisah hanya kerana Allah...alangkah manis keadaan itu.

Tetapi keadaan sebaliknya pula yang berlaku...terminologi 'kerana Allah' telah ditransformasi kepada 'kerana kepentingan dunia'. Terasa hina diri diperlaku begitu. Lantas penulis nekad untuk menyenarai hitamkan namanya dari simpanan. Jika ditakdir spesis begini yang banyak berkeliaran di sekeliling bagi mencari peluang duniawi, penulis rela menjadi kera sumbang tidak berteman.

Biarlah jika itu kehendaknya. Penulis rela berundur dari terjebak dalam permainan nafsu-nafsinya. Berundur diiringi rasa insaf kerana DUNIA YANG DIKEJAR SEMAKIN JAUH LARI MENINGGALKAN KITA.

Bila suara hati mahu menjerit, pena penulis mula menari-nari lagi...



Saturday, 5 October 2013

Beribadah Untuk Merasa Sakit

Beribadah untuk merasa sakit? Pelik pula bunyinya. Untuk apa kita beribadah jika sakit yang menerjah? Kita bukan Nabi yang beribadah sehingga bengkak-bengkak kakinya...bukan kerana dosa yang melampau tetapi lebih menuju rasa insaf dan syukur atas pelbagai nikmat yang diberi olehNYA.


Cuba kita berhenti sejenak untuk berfikir tujuan manusia dicipta. Ya, untuk menghambakan diri dan beribadah kepada hanya Allah yang Esa...tiada yang selainNYA.
Ibadah pula terbahagi kepada dua kategori...'ibadah khusus' seperti solat, puasa, zakat dan 'ibadah umum' iaitu mencakupi seluruh kehidupan manusia berlandas syariat.

Berbalik kepada frasa di perenggan pertama artikel ini...beribadah untuk merasa sakit. Ya, mereka yang IKHLAS beribadah kepadaNYA bakal menempah sakit...betul ke? Jika Allah cipta manusia untuk ibadah itu diterjemah, mengapa pula sakit yang harus ditempah? Terlihat seperti Allah itu zalim memberi sakit kepada insan yang mengabdikan diri kepadaNYA.

Kita toleh kembali kejadian manusia yang penuh alpa dan dosa. Dosa dan manusia amat sinonim. Selain Manusia dan Iblis...terdapatkah ciptaan Allah yang hidupnya dipalit dosa? Haiwan, tumbuhan, langit dan bumi tidak menanggung dosa di sepanjang kejadiannya. Iblis diiringi dosa hingga kiamat tanpa pengampunan Allah manakala manusia pula pasti berbuat dosa tetapi peluang pengampunan amat besar Allah tawarkan.

Mereka yang beribadah tetap melakukan dosa...itu pasti, atas kapasiti nafsu yang mengikat. Makin kerap beribadah semakin agresif dosa bertandang kerana Iblis akan mengarah tentera yang hebat-hebat untuk mengganggu -gugat insaf makhluk. Yang dimaksud dengan melakukan dosa bagi ahli ibadah ialah dosa-dosa kecil seperti zina mata, lidah, telinga dan perbuatan yang menyakiti hati seseorang mahupun lintasan prejudis hati.

Apabila insan semakin banyak ibadahnya maka semakin dekat dirinya dengan Allah dan semakin banyak menggapai perhatianNYA. Bila keadaan ini berlaku, pasti Allah tidak akan mensia-siakan praktik ibadah seseorang. 

Itulah rahsia sakit yang bertandang dikala ibadah diundang. Diberi sakit untuk menyedarkan insan itu bahawa dosa-dosa kecilnya telah lupus, tidak ditangguh balasannya di akhirat. Bayangkan sekiranya segala dosa kecil dikumpul menjadi setinggi gunung dan balasannya menunggu di akhirat, harus hilang segala pahala selama di hidup di dunia.

Mereka yang banyak ibadahnya pasti cemas bila sakit menyepi. Apakah Allah telah meminggirkannya? Ini yang dialami oleh para sahabat Nabi...berasa resah dengan keselesaan sekitar.

Benar...SAKIT itu adalah terjemahan kasih sayang Khaliq kepada hamba yang disayangiNYA. Sebenarnya definisi 'sakit' di sini merupakan sesuatu yang enak untuk ditempuh oleh mereka yang celik mata hati. Sakit itu dinanti-nanti oleh mereka yang dekat dengan Allah. 'Sakit' yang nampak sakit di mata kasar sebenarnya kesembuhan bagi mereka yang mengalaminya. Ini kerana 'sakit' itu diiringi rasa sabar dan redha anugerah Allah kepada yang terpilih.

Masih tidak merasai lazatnya sakit setelah beribadah? Jelas yang sakit di ketika itu adalah JIWA kita!!!

**catatan dari Sunway Pyramid