Suaminya tersenyum mendengar laungan isterinya di dapur. Bila tiada respon dari suami, si isteri menjenguk kepalanya dari dapur melihat ke ruang tamu. Mata mereka bertentang dan sehabis spontan kedua suami isteri itu tersenyum diiringi ketawa manja si isteri.
Aaiissyyy...pertanyaan isteri yang secara tiba-tiba meminta plaster untuk membalut luka di tangannya itu benar-benar menjadi pengubat kemelut jiwanya.
Isterinya rajin. Di hari bekerja, sesampai sahaja di rumah menjadi ligat dalam memastikan kebersihan rumah. Jika si lipas yang kudung melihat akan kerancakan isterinya mengemas, nescaya kaum lipas akan secara sukarela melucutkan anugerah 'lipas kudung' untuk komuniti lipas...cemburu lipas itu pada isterinya.
Dari mengangkat kain di ampaian hinggalah memasak. Segalanya menjadi rutin mainan tangannya setiap hari. Haaaaa...tapi biasalah kan, jika badan dah penat kemas rumah...jangan ada yang mula membuat sepah. Jadi bebelan satu rumahlah jawabnya. Komuniti lipas yang kudung habis semua pakat nak sambung balik sesungut mereka agar tidak menjadi mangsa suara retro isteri...aduyaaaiiii.
Jangan kata isteri, jika suami yang pembersih balik kerja nampak rumah bak tapak pasar malam...memang sah anak-anak kena panggil.
Rumah mereka biasa-biasa sahaja...tiada yang istimewa. Pembangunan rumahtangga mereka juga tiada yang luarbiasa, segalanya berjalan lancar...aman damai jua tenteram.
Tetapi sekali sekala ada juga bunyi-bunyi yang tidak menyenangkan melingkari kehidupan mereka. Ye lah...lidah dan gigi mana pernah berpisah, rapat sungguh. Dalam akrab hubungan itupun gigi yang sopan tergigit lidah yang manja. Itulah simbolik gigi (suami) dan lidah (isteri).
Suaminya baik, penyayang dan bertolak ansur. Jika si isteri sibuk mengemas rumah, dia mengelak untuk dihidangkan makanan jua tidak diminta isterinya untuk membuat segelas air. Dia rela melakukannya sendiri. Terlalu sayup mata memandang kejauhan sifat Rasulullah yang hendak dijejakinya tetapi dia perbuat setakat yang mampu. Baginda membantu isterinya di dapur jua menjahit bajunya sendiri. "Takkan nak buat air segelaspun aku tak mampu?" bisik hati kecilnya.
Suaminya terlalu menghormati kedua ibu bapa kandung mahupun mertua. Giliran untuk menziarahi kedua pihak ditimbang secara adil. Tiada yang lebih mahupun kurang. Itu prinsipnya.
Haaa...bayangan latarbelakang keluarga ini telah penulis lakarkan untuk pembaca membuat penilaian.
Jika boleh ditanya..."agak-agaknyalah...apa yang akan berlaku kepada isteri jika si isteri engkar mahupun menyakiti hati suami yang baik seperti yang penulis ceritakan di atas?
Yaaa...inilah yang berlaku ke atas keluarga yang dianugerahi rahmah, sakinah juga mawaddah. Allah melimpahi segala kebaikan ke atas keluarga ini di atas ketakwaan suami menjalankan perintah Allah.
Kisah ini dikongsi oleh seseorang kepada penulis demi menyebar iktibar kepada yang membaca.
Berbalik kepada tangan isteri yang luka itu. Seperti biasa pulang dari pejabat, isteri mengemas rumah dan memasak. Kebetulan suaminya juga pulang awal dan terus duduk berehat di ruang tamu.
Isteri yang keluar masuk dapur mengerling kepada suami yang sedang melepaskan penat sambil bersuara dengan nada menyindir, "banyaknya kerja nak buat...kain kat ampaian pun tak berangkat lagi".
Suaminya menegur lembut isteri, "Laaa...mana abang tahu nak kena angkat kain. Dulu ada sekali abang angkat kain, awak kata kain tak kering lagi. Tu yang abang malas nak masuk campur kerja-kerja awak. Lain kali kalau nak minta tolong, cakap la betul-betul..abang takde masalah nak tolong..tak payah sindir-sindir". Agak bersyarah suaminya demi mendidik isteri agar lebih berhemah.
Selang seminit suaminya menegur, tangan isterinya terkena tajam tin susu yang hendak dibukanya. "abang...ada plaster tak?" Laung isterinya di dapur.
Haaa...masing-masing berpandangan tersenyum kerana suami dan isteri itu tahu bahawa Allah sedang menegur kesilapan isteri terhadap suami...kafarah!!!
"Sayang...Allah sayang awak. Sebab itulah tidak ditangguh untuk membalas dosa-dosa kecil sayang".
Hahahaahaa...berderai ketawa mereka berdua...
Sebenarnya si steri memang sudah lama perasan akan teguran Allah yang terlalu 'direct' terhadapnya jika dia menyakiti hati suaminya yang satu itu.
Ciptalah masalah kepada suami di rumah, di pejabat akan ada masalah yang tidak dijangka timbul. Bebel lah untuk melepas penat kepada suami, akan berlaku keesokan hari di pejabat, client memarahinya. Bantahlah arahan suami, akan berlaku sakit perut berangin secara tiba-tiba.
Yang seronoknya, bila isteri balik rumah dan cerita kepada suami...isteri itu sendiri yang membuat pengakuan akan kesilapannya terhadap suami yang Allah balas secara 'cash' itu.
Tapi dah namanya manusia...pasti ada yang terleka mahupun tidak sengaja..tapi jangan dibutakan mata hati itu kerana teguran Allah boleh menjadi pelbagai coraknya.
Suaminya memanjat syukur kepada Ilahi dalam diam. "Allah bersamaku..."
Sahabat...terimakasih sudi berkongsi kisah bersama EVOLUSI JIWA.