Translate

Sunday, 23 June 2013

'Mock Up' Menuju Barzakh

Entah kenapa tiba-tiba fikiran terimbau kenangan sewaktu aku bersama rakan-rakan yang lain menguruskan Kem Motivasi Khemah Ibadah di Morib. Itu merupakan program syarikat yang mana kami sebagai AJK Surau telah diberi tugasan untuk mengendalikan Khemah Ibadah tersebut.

Kami telah melantik seorang konsultan untuk memberi topik-topik yang berhubungkait dengan jatidiri dan peranan kakitangan sebagai khalifah di mukabumi ini. Segala-galanya berjalan lancar dan hari yang ditetapkan tiba bersama kehadiran kakitangan yang agak bermasalah yang kami telah kenal pasti untuk menghadiri program tersebut. 

Kami tidak mengenakan garis panduan yang ketat kepada kakitangan...mengadaptasi konsep 'berdakwah secara berhemah'. Tiada paksaan bagi mereka yang 'free hair' untuk menutup rambut...mereka bebas. Jika adapun mereka yang memakai 'skirt', sekali-kali kami tidak akan menegur...biarkan sahaja. 

Hidayah tidak datang dari luar...pihak pengurusan memaksa itu dan ini. Jika itu yang berlaku, akan wujudlah lakonan sandiwara yang tidak berpenghujung dan mereka bakal menjauhkan diri dari orang-orang yang berlabel agama. Biarlah kesedaran sendiri yang menentukan pilihan..itu lebih memberi kesan.


Lihat sahaja bagaimana Allah mengharamkan 'khamar' di kalangan bangsa Arab yang telah sebati kehidupan mereka dengan minuman tersebut.

Peringkat pertama..diberi kesedaran bahawa lebih baik anggur itu dijual dari menjadikannya arak yang diperam..lebih memberi manfaat.

Peringkat kedua..Allah menjelaskan bahawa arak mempunyai manfaat dan juga mudarat ke atas diri. Tetapi Allah tekankan bahawa kemudaratannya lebih membawa kesan.

Peringkat ketiga..Allah melarang mereka minum arak di waktu hendak menunaikan solat kerana berlaku peristiwa sahabat yang mabuk di ketika solat.

Peringkat akhir..baru diharamkan terus arak dan di kala itu mereka yang beriman akur tanpa membantah. Habis semua bejana-bejana arak ditonggeng untuk membuang air arak yang masih diperam.

Begitu berhemah Allah terhadap makhluknya!!!

Berbalik kepada program Khemah Ibadah. Apabila semua sudah berkumpul, mereka diarah menaiki bas. Sesampai di destinasi, tugasan pembahagian bilik dijalankan. Kulihat seorang peserta wanita yang pada awalnya 'free hair' mula mengenakan selendang..tak pasti la pula mana dia mendapatkan selendang itu. Alhamdulillah, satu permulaan yang baik untuk dirinya.

Program berjalan seperti yang dirancang yang diselang seli dengan permainan minda. Pada malam pertama, peserta berpeluang untuk memukat ikan. Mereka yang seramai 20 orang menarik pukat di sepanjang pantai separas pinggang. Suka betul nampaknya mereka kerana berpeluang menjadi nelayan sambilan. Hasil tangkapan dibuat 'berbeque' sambil dihidang kopi O. Meriah jadinya malam itu.

Di malam terakhir pula, kami merancang sesuatu. Ya..sesuatu yang bakal menjadi kenangan abadi dalam kehidupan peserta. Selepas kelas terakhir di sekitar jam 10 malam, peserta diarah berkumpul di dewan yang diserikan dengan hanya lampu yang samar-samar sahaja.

Terbentang di hujung dewan, kain putih yang ditebar sebanyak 20 helai untuk 20 peserta. Mereka bakal dikapan untuk kesekian kalinya! Untuk menambah derita, aku telah membeli kapur barus dan ditabur ke atas kain putih tersebut.

Peserta diarah baring di atas kain masing-masing dan kami membalut badan mereka keseluruhannya...yang terbuka hanya di bahagian muka sahaja. Bunyi hujan dan guruh petir dialunkan bagi menambah kesan di hati peserta.

"Saudara saudari semua, cuba bayangkan anda semua telah mati dan bakal dikebumi. Anda tinggalkan hutang yang banyak, kad kredit juga pinjaman-pinjaman lain. Anda tinggalkan isteri dan anak-anak tanpa didikan agama. Anda tinggalkan solat dan puasa tanpa sempat menggantinya".

Di hujung dewan mula kedengaran seseorang yang teresak- esak menahan tangis. Bunyi dentuman guruh menambah ngeri situasi.

"Saudara saudari semua, ulat-ulat bakal memamah daging-daging anda. Berjenis ular pula menanti habuan untuk membelit. Anda merayu dan meratap hiba untuk diberi peluang sekali sahaja lagi hidup di dunia..cuma sekali sahaja!"

Kulihat semakin ramai peserta mula tidak tahan dengan peringatan-peringatan tersebut. Aku memberi isyarat kepada fasilitator untuk menghentikannya atas kemungkinan-kemungkinan yang tidak diingini berlaku.

Apabila lampu dinyalakan, peserta diarah untuk duduk dan terlihatlah semuanya menangis..ya, menangis mengenang nasib di alam barzakh. Mereka kelihatannya insaf...tetapi aku benar-benar berharap agar program ini menjadi titik tolak ke arah perubahan diri. Berubah ke arah yang lebih baik, jika sudah baik...menuju pula ke arah yang lebih cemerlang dalam menggapai kasihNYA.

Itu cuma harapan kami...tetapi mereka sendiri yang akan menentukan haluan sendiri.

Buatlah pilihan kerana di sana nanti tiada yang membantu mereka melainkan gerak amalan di masa hidup.

Tiba waktu untuk pulang. Kami bersalam-salaman dan kelihatan mereka mempunyai semangat baru dalam menongkah arus keperitan hidup. Ramai yang memelukku erat...mungkin simbolik rasa terimakasih di atas kesedaran yang diberi.

Sahabat...kami hanya menjalankan tugas untuk menyampaikan apa yang perlu. Jika rasa sedar itu bersifat total...kuiringi dengan ucapan Alhamdulillah.

Memulakan hari-hari biasa di pejabat, kulihat kelibat mereka di surau untuk berjemaah zohor...kuiringi sekali lagi dengan ucapan Alhamdulillah.


Tuesday, 18 June 2013

Ke Mana Hilang 'Rasa' Itu?

Manusia tercipta tidak diminta. Kita tidak tahupun bahawa kita bakal mendiami bumi yang berbentuk sfera ini. Seolahnya kita dipaksa untuk menjalani kehidupan di dunia. Lahir-lahir sahaja terus kita menangis...agaknya sebab nak protes Tuhan kot.."apasal laa Tuhan hantar kita ke dunia yang penuh tipu daya niiiii!"

Aaa..aaa..aaa...jangan la cepat melatah manusia ooii. Memang la kita tidak pernah minta untuk lahir ke dunia tetapi harus diingat, apabila Tuhan sudah tentukan sesuatu perkara itu...tiada satu makhlukpun yang boleh pertikaikannya. Terima sahajalaaahhh...
Tuhan tidaklah zalim melepaskan kita hidup tanpa apa-apa panduan. Bayangkan..kita dijemput ke kenduri kahwin tanpa kad jemputan, tanpa peta lokasi, tanpa aturcara majlis, kan ke kalut jadinya. Kita hendak ke sanapun berfikir 10 kali..takut-takut sesat tak sampai ke tempat yang dituju.

Bila manusia begitu berhati-hati menjemput sanak saudara ke majlis walimatul urus sehingga ada yang menyediakan latitud GPS bagi benar-benar ingin memudahkan perjalanan seseorang...apatah lagi ALLAH!!! Malah kadang-kadang DIA beri lebih dari apa yang kita minta..jangan kata yang diminta, yang tidak diminta juga kita dapat merasa.
Tetapi nampaknya kita terus sesat dalam kehadiran pelbagai panduan dari langit. Dicipta Nabi dan Rasul untuk setiap kaum. Warna-warni mukjizat mengambil tempat. Sains dan kehidupan banyak yang dijawab di dalam Kitabullah. Kejadian alam dan kosmos serta kejadian 'big bang' terang-terangan menepati Quran.

Malangnya, masih ramai yang kabur dengan segala panduan yang diberi...hah, kabur? Kalau tanya pada yang Muslim, semua yakin dengan sam'iyat (perkara ghaib) tetapi mengapa masih bermaksiat? Tak percaya kepada hari pembalasan ke?
Okey, mari kita ber 'analogi'. Seseorang yang pakar tentang masakan, sudah barang tentu tahu bahan apa yang terkandung di dalam sesuatu masakan. 


Saya suka mengikuti rancangan Master Chef dan sekarang ini dipilih selebriti untuk menceriakannya. Di dalam salah satu siri, telah dihidang masakan bubur lambuk. Setiap selebriti harus merasa dan meneka bahan-bahan yang terkandung di dalam bubur tersebut. Ada yang meneka dengan tepat dan begitu juga di sebaliknya. 
Yang pakar masak sudah tentu dapat meneka kesemua 20 bahan. Yang separa pakar mungkin dapat meneka sebahagiannya sahaja. Yang tidak minat memasak mana mungkin boleh meneka.


Macam mana yang pakar boleh tahu semuanya? Eerrmm..dah namapun pakar, tentulah dia telah mendalami ilmu masakan dan mempraktikkannya setiap hari...siap boleh tubuhkan kelas masakan lagi bagi berkongsi ilmu masak-memasak.
Yang boleh memasak tetapi bertaraf biasa-biasa sahaja akan masak untuk keluarga dan diri sendiri sahaja. Bagi yang tidak pandai langsung...hanya mampu menjamu selera.

Inilah 'analogi' nya. Sebenarnya 'rasa' itu memain peranan utama untuk kita kenal Allah. Kita 'rasa' kewujudan Allah sama seperti pakar masakan yang boleh merasa bahan-bahan di dalam sesuatu masakan walau tidak kelihatan sifat gula, garam, bawang putih dan sebagainya. Kita tidak melihat Allah tetapi kita merasai kehadiranNYA. Yang tinggi rasanya ialah yang tinggi ilmunya dan banyak amalannya. Siap boleh wujudkan kelas agama untuk berkongsi ilmu dan menyampaikannya.

Bagi yang biasa-biasa sahaja, hanyalah beramal untuk diri sendiri...kekadang merasa kekadang hilang rasa itu. Bagi yang jahil pula tidakpun merasa dan kekadang mempertikaikan pula cara Allah memberi amaran.

Sahabat...agak-agaknya lah, di mana kedudukan kita dalam mengenal Allah? Sebagai seorang pakar, ilmu biasa-biasa sahaja atau tak kenal langsung?

Jika rasa itu ada, kita akan mencari-cari waktu untuk bersamaNYA.
Jika rasa itu ada, kita akan jadi terlalu berhati-hati bila berurusan dengan makhluk.
Jika rasa itu ada, kerja yang kita lakukan menjadi sempurna kerana itu tuntutanNYA.
Jika rasa itu ada, kita akan sentiasa berbuat kebajikan dikala tiada seorangpun yang melihat.
Jika rasa itu ada, ibubapa di kampung akan merasa terhibur dengan kehadiran kita atau setidak-tidaknya mendengar suara di talian.
Jika rasa itu ada, kita akan ketepikan habuan dunia di kala menyebar kebaikan.
Jika rasa itu ada, kita akan terus meminta-minta kepadaNYA tidak kepada makhluk yang lain.

Tetapi kita macam tak rasa apa-apa jeee.

Mana la agaknya hilang 'rasa' itu ye...

Sunday, 16 June 2013

Bodek Atau Ambil Hati?

Dalam satu-satu organisasi akan wujud majikan dan pekerja. Hubungan yang baik antara mereka bakal menatijahkan hasil dan 'output' yang baik secara keseluruhannya. Biarpun terdapat minoriti kakitangan yang kurang segar tetapi ia sekali-kali tidak mampu menentang arus perdana yang baik atas kapasiti pekerja baik mendominasi jabatan tersebut.

Jika dianalogikan kepada setandan pisang, dalam limpahan warna kuning keemasan itu pasti terdapat warna yang pudar dan tidak bermaya. Jika pisang busuk boleh saja kita asingkan dan buang. Tetapi konsep itu tidak boleh digunapakai terhadap manusia apatah lagi dalam kehidupan berkeluarga.

Anak-anak yang malas dan agak lembam harus diberi perhatian lebih agar dirinya tidak ketinggalan berbanding adik-beradik yang lain. Pekerja yang suka curi tulang dan sarat beralasan harus ditangani dan diberi perhatian lebih demi mengelak yang lain berasa seperti tidak adil.

Ya...cerita pisang, keluarga dan kakitangan sudah dikupas secara umum. Tetapi apa yang penulis ingin sampaikan di sini adalah istilah 'bodek' yang sering dilabel kepada seseorang dalam sesebuah organisasi.

Istilah ini kerap hadir kepada mereka yang sering dilihat bersama 'boss' atau ketua jabatan. Persepsi di luar melihat ada faktor 'personal interest' apabila keadaan itu berlaku.

"Senang nak naik pangkat le tuu".
"Bila kerja tak siap, mulalah dia himpit boss dan puji melangit. Boss pun cair tak jadi nak marah".
"Asyik-asyik muka dia dalam bilik boss...bodek la tuuu".

Haaa...itu di antara frasa-frasa amarah yang keluar dari mulut mereka yang tidak berpuas hati. Eerrmm...penulis rasa memang patut rasa tak puashati itu merajai hati kerana semua yang dilakukan oleh 'pembodek' menjurus ke arah kepentingan peribadi sehingga ada yang sanggup memijak rakan-rakan sekerja yang lain.



'Bodek' jika dirujuk kepada Kamus Dewan edisi keempat bermaksud 'mengangkat, mengampu, mencari muka'. 

Itu semua merupakan laluan untuk mendapatkan sesuatu. Jika rapat dengan ahli politik...kepingin pangkat dan jawatan. Jika ber'couple' dengan ahli perniagaan...nak dapat projek. Jika macam belangkas dengan majikan...nak cepat naik pangkat.

Tetapi jangan sesekali menggelar seseorang itu suka bodek boss bilamana dia sering memuji ketuanya di dalam sesuatu majlis. Pujiannya mungkin jujur yang mana dia mahu mereka tahu bahawa dia banyak berhutang budi dengan ketuanya yang banyak membantu mengangkat dirinya ke tahap yang tidak terfikir olehnya. Hanya itu sahaja caranya untuk dia membalas budi baik ketua.

Jika tetap mahu juga melabel dia membodek boss...cuba lihat senarai di bawah:-

1. Adakah dia mengejar pangkat dan telahpun mendapat apa yang dihajati?
2. Adakah dia yang mendekati boss atau boss itu yang sering mencarinya?
3. Adakah kerjanya tertangguh atau dalam kategori cemerlang?
4. Adakah dia sering meluangkan masa bersama boss sehingga mengorbankan hujung minggu bersama keluarga? (bermain golf contohnya)
5. Adakah 'simptom' boss membenci kakitangan lain atas hasutan sikaki bodek itu?
6. Siapakah yang menawarkan diri untuk berhijrah ke jabatan lain bila berlaku pengecilan jabatan? (dikala tiada seorangpun yang berani berdecit di waktu itu)
7. Adakah pekerja itu membuta tuli menyokong apa sahaja yang datang dari boss atau dia akan memberi komen dan pendapat atas sesuatu yang tidak dipersetujuinya?

Jika semua yang tersenarai di atas tidak terdapat kepada seseorang itu...lebih manis rasanya istilah 'bodek' diterjemahkan sebagai 'ambil hati'. Atas rasa terimakasih yang teramat...dia mewar-warkan dan memuji jasa baik ketua di khalayak yang ada...salah ke tu?

Janganlah pula kita yang tiada aura untuk meluahkan 'rasa berterimakasih' melabel sesuka hati mereka yang cuba mempraktik sunnah Rasulullah saw. Jangan ambil tugas Tuhan dengan menelah hati seseorang.

Rasa kasihan penulis kepada yang menjadi mangsa kerana penulis amat mengenali dirinya. Penulis yakin dia tiada masalah untuk berpisah dengan ketua jabatannya jika itu yang dikehendaki oleh syarikat...maksudnya berhijrah ke jabatan lain. Lain sifatnya untuk yang kaki bodek, pasti akan berasa resah bilamana menerima surat pertukaran jabatan.

Maaf...penulis tidak cuba untuk mengeruh suasana hanya tergerak hati untuk memperjelas sesuatu...agar tiada yang menjadi mangsa lidah...ye laa, lidah tu kan tidak bertulang.

Pena penulis mula menari-nari lagi...

Saturday, 15 June 2013

Subhanallah...Inilah Islam




Hari itu aku disapa oleh sekeping kad...kad undangan perkahwinan yang lantang menggugat kestabilan emosi. Aku tak pasti mengapa perlu ku beremosi di kala sepasang kekasih bakal mendirikan masjid. Syaitan sudah tidak betah jadinya menanti hari tersebut...hari yang bakal memusnahkan peluangnya untuk mencari seramai teman menuju menara merah...neraka!

Aku? Ya, aku masih leka menatap kad undangan yang bersampul hitam dan putih. Rekabentuk kadnya mudah, berlatarbelakang warna gelap keemasan. Tetapi 2 objek yang tertera itu benar-benar membuat aku terpaku...penukulnya telah membenam paku jauh ke dalam lubuk hatiku.

Betulkah apa yang terhidang di hadapanku ini? Aku mengenalinya tidak lama tetapi serasa mesranya melangkaui jarak masa. Dia mudah tersenyum dan penampilannya biasa-biasa sahaja. Kebaikan dan sifat jujurnya terserlah bilamana kami mula berbual...dia cepat mesra tetapi masih kekal dengan sifat malunya. Menjadi orang kepercayaan Pengurus, menjelaskan lagi siapa dia.

Jujur aku meluahkan bahawa sepanjang kembaraku di muka bumi ini, tidak satupun kad undangan perkahwinan yang mampu memaku mataku untuk tidak berkelip dalam beberapa minit..sungguh! Tetapi kad yang satu ini seolahnya hidup dan bernyawa. Kad itu bagai bersuara "INILAH AKU".

2 objek itu menceritakan sepasang kekasih duduk penuh sopan tidak bersentuhan. Mereka berdua memegang kitabullah. Pemilihan pakaian amat ringkas diserikan dengan warna kegemaran Rasulullah...putih bersih. Silelaki memakai kopiah putih dan pasangannya ber'niqab'!!!

Itu sebenarnya yang membuatkan emosiku bertamu. Satu konsep yang berani dipamerkan oleh mereka berdua. Pertama kali membuka kad undangan, hatiku berbisik sebak...INILAH ISLAM.

Mereka berdakwah dengan cara sendiri. Jika lazimnya kita melihat kad 'pre wed' berpegangan tangan walau belum diijabkabul, mereka menegur remaja di luar dengan promosi hebat. Jika yang ber'niqab' dianggap jumud dan terlalu bersempadan, mereka telah memecah persepsi masyarakat dengan satu mesej...Islam sesuai diaplikasi di sepanjang zaman dengan menjadikan syariat sebagai panduan.

Mereka tidak lokek bergambar dan tampak mudah mengikuti arus zaman yang beredar. Mereka suka bergambar dan gambar mereka sarat dengan mesej Islam kontemporari. Mereka senang dengan dunia sekarang dan tidak kekok untuk mengekalkan identiti Pasangan Muslim Contoh. Mereka mempromosi kitab al Quran dengan beranalogi bahawa hanya Kalam Allah sahaja boleh menyelamatkan pelayaran rumahtangga yang bakal menempuh laut yang bergelora.

Hari itu kami bertemu lagi bagi menghadiri sebuah bengkel di Port Dickson. Kami duduk semeja di waktu makan malam. Dia mula galak bercerita tentang pengalaman bersama teman hidup. Berkenalan hanya selama 6 bulan yang diuruskan oleh saudara rapat. Pergi merisik dan pihak keluarga perempuan hanya mahu dilangsungkan sahaja majlis akad nikah tanpa majlis pertunangan. Semudah itu...INILAH ISLAM.

Banyak lagi cerita yang dikongsi yang mana aku rasa tidak perlu sangat untuk kusebarkan segalanya. Aku meminta izin untuk memapar kisahnya bersama kad undangan yang teramat unik itu. Tidak timbul masalah katanya jika itu dapat memberi kebaikan dan manfaat kepada yang membaca.

Saudaraku Encik Razaleigh, semoga perkahwinan anda diberkati yang bakal melahirkan generasi Muslim yang tidak hanyut ditelan hipokrasi dunia.

Terimakasih sahabat kerana sudi berkongsi cerita dan jujur mengizinkanku memapar kisah kalian berdua. Semoga Allah menganugerahkan kebaikan di atas kebaikan anda. 

DUNIA...LIHATLAH, INILAH ISLAM!!!

Jazakum Allahu Khair.

Sunday, 9 June 2013

Kisah Bilis dan Jerung

Ilmu merupakan satu-satunya harta yang tidak akan habis walau digali dan dipelajari sebanyak mungkin. Sebaliknya semakin banyak dipelajari semakin bertambah ilmu itu jadinya...bercambah dan membiak tanpa dapat dikawal sehingga terasa semakin dungu jadinya diri.
Mempelajari ilmu menjadi fardu 'ain kepada setiap yang bernama 'mukallaf' (Muslim akil baligh yang berakal dan waras). Permulaan ayat yang diturunkan berbunyi 'bacalah', menunjukkan dengan membaca, ilmu dapat digali seterusnya dikaji dan diimplementasi dalam kehidupan seharian.

Pernah Sayidina Ali ditanya beza antara ilmu dan harta. Katanya, kita terpaksa menjaga harta sebaliknya ilmu pula yang menjaga kita. Harta dibelanja akan berkurangan tetapi ilmu yang disebar bakal menambahkan lagi ilmu lain. Harta penyebab kita leka dengan dunia tetapi ilmu yang betul lebih mendekatkan kita dengan RAB.

Begitulah di antara kelebihan ilmu...dengan syarat ilmu yang dipelajari haruslah ditemani jujur dan ikhlas. Jika mempelajari ilmu untuk pangkat, kedudukan, harta dan segalanya ber'maqasid'kan dunia, maka di sinilah timbulnya banyak masalah-masalah salah guna kuasa dan hilangnya integriti diri.

Maka tidak hairanlah pegawai atasan Tabung Haji terlibat dengan penyalahgunaan kuasa, rasuah mengambil tempat, diskrimimasi pekerja mengikut selera 'favoritism' dan bermacam kerenah hilang jati diri yang mencalar kredibiliti ilmu.

Mereka semua berjawatan tinggi yang menunjukkan tahap ilmu mereka juga bukan calang-calang untuk dipertikaikan. Pernah ada seorang doktor di Kuala Lumpur yang beroperasi menjual 'slip mc'...maka berduyun mereka yang tidak sakit untuk 'disakitkan' dengan berbekal slip tersebut. Pergi sahaja ke kaunter, terus pekerjanya bertanya nak mc berapa hari!

Itulah di antara manipulasi ilmu yang terarah kepada hilangnya keberkatan ilmu itu sendiri.

Kedapatan pula orang bijak pandai yang mengejar 'title'. Semakin banyak gelaran yang dipegang maka semakin berharga diri dirasa. Dengan kedudukan tersebut, banyak projek yang memerlukan kelulusan beliau. Apa lagi ber 'percent-percent' lah laba masuk ke kantung. 
Tak susah, perbincangan hanya berlaku di padang golf yang ditaja oleh kontraktor. Sambil memukul bola, tawaran menyusul dan persetujuan diperolehi. Cantik bukan!!!

Oohh...tetapi cantik itu sebenarnya mengundang padah. Selepas setahun bersara dan tiada memegang apa-apa jawatan, pengurusan baru mengesan transaksi yang mencurigakan lantas dibuka fail di mahkamah untuk proses pendakwaan.

Haaa...terlihatlah kelibat mereka yang didakwa hanya tersenyum. Senyum kerana mereka akan mencabar pendakwaan tersebut. Diupah peguam yang handal dan silap-silap hakim juga silau mata dengan tawaran untuk membatalkan kes.

Dimana keadilan? Mengapa jerung sering terlepas sementelah si bilis acapkali terjerat? Sebenarnya ikan bilis itu yang lebih beruntung...aiikk macam mana pula tu? Dahlah tak berduit, didenda dan ada juga yang masuk penjara..di mana untungnya si ikan bilis?

Cuba alih sisi pandang ke sudut syariatullah...jawapannya di situ. Dosa yang dibalas di dunia lebih amat-amat menguntungkan dibanding jika Allah tangguh pembalasannya di akhirat. 

Kebaikan yang lain pula, bila kena hukuman, itu boleh menginsafkan seseorang...langsung dia bertaubat. Itu lebih baik dari sijerung yang sering terlepas dan terlekalah dia dengan segala kuasa dan pengaruh sehingga tiada rasa untuk bertaubat. Hingga sampai ke penghujung hayat, diri bergelut dengan hijab yang dibuka menunjukkan kesalahan dan dosa-dosa yang masih tidak terampun.

Dikala itu lidah sudah terangkat ke lelangit, kelu dan keras untuk bertutur..mata sahaja yang berkelip-kelip cemas melihat segala salah laku. Ya...apabila hijab dibuka, mulut akan dikunci. Pendosa tidak akan boleh bercerita kepada sesiapa jua tentang apa yang dilihat. Diri lemas...seakan bernafas di dalam lumpur, mencungap-cungap meminta udara.

Ikan bilis telah membayar denda atas kesalahan juga mungkin telah bebas dari hukuman penjara selama 5 tahun. Dia berubah dan berazam untuk memulakan kehidupan baru. Dia mula sedar atas ceramah-ceramah agama yang menjadi halwa telinga sepanjang tempoh di penjara. Dia telah fasih membaca al Quran yang diajar oleh guru-guru agama di penjara. Tempoh penahanannya tamat dan dia telah bebas, dirinya seolah bayi yang baru dilahirkan ke dunia...tanpa dosa.

Nah...jika itulah keadaannya, mana satu yang kita pilih...BILIS atau JERUNG?

Jangan persoal baik atau buruk sesuatu yang berlaku kerana akal kita terlalu dangkal untuk merungkai rahsia Allah. Sesuatu yang kita anggap baik belum tentu baik di sisiNYA. Jangan pula cepat melatah dengan sesuatu yang tidak kita sukai...boleh jadi itu lebih baik untuk kita di masa hadapan.

Apa yang berlaku di dalam diri kita lebih patut diberi perhatian berbanding dengan apa yang berlaku ke atas diri kita...hanya matahati yang hidup dapat merasainya!

Friday, 31 May 2013

Adat Yang Tiada Adab

Menunggu di dalam kereta pasti berteman bosan, lantas aku guna peluang itu untuk kucatat sesuatu buat perkongsian yang sudi membaca. Sedang leka menulis, ekor mataku terkilas kepada seorang wanita yang keluar dari kereta bersama bungkusan plastik di tangan. Dia ke bahu jalan dan melontar bungkusan plastik tersebut. 

Ya...memang aku lihat di bahu jalan tersebut banyak terdapat sampah sarap yang dibuang walau tidak diwarta sebagai kawasan pembuangan sampah. Hati aku mula menggetus melihat gelagat yang tidak berdisiplin itu. Memang adat Melayu, Cina dan India di negara Malaysia ini. Sekali seseorang buang sesuatu di tempat tersebut, mulalah menggeletek yang lain mahu mengikut adat yang tak beradab itu.

Tetapi sesuatu yang ajaib pula berlaku dan aku tak pernah melihat kejadian itu seumur aku hidup di bumi Malaysia. Selang tidak beberapa saat, wanita itu keluar semula dan mengutip kembali buangan yang dilontar dan terus memasuki kereta bersama plastik sampah tersebut! 

Hai...tak pula aku nampak kelibat pegawai penguatkuasa yang meronda. Tidak juga aku terfikir betapa dia telah bertaubat sedetik lebih.
Pelik!!! Disebabkan kepelikan yang berasas itu, aku tidak berkelip mata memerhati gelagatnya di dalam kereta. Aku lihat ada seorang lelaki di ruang pemandu yang sedang bercakap dengan wanita tersebut.

Nah!!! Aku mula mencipta jawapan dan aku yakin memang tak salah untuk aku sendiri berkarya bagi pihak keluarga itu kerana segalanya berlaku di depan mata.
Wanita tersebut apabila melihat banyak sampah sarap yang dibuang di bahu jalan tanpa berfikir panjang membuat keputusan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti normal itu iaitu 'membuang sampah bukan di kawasan pembuangan sampah'.

Apabila suaminya terperasan, diarahkan isterinya untuk mengutip semula sampah tersebut atas disiplin tinggi yang diamalkan olehnya. Dia tidak mahu keluarganya menjadi penyumbang kepada kekotoran bandar yang tidak dihirau oleh masyarakat sekeliling. 



Aku kagum...ya amat kagum kerana di kala itu tiada sesiapa di sekeliling. Tiada pegawai penguatkuasa yang digeruni untuk mengeluarkan saman juga tiada manusia lain untuk dia menunjuk-nunjuk disiplin. Ketulenan yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa.

Alhamdulillah...masih wujud lagi sebenarnya sifat-sifat Islam tulen yang diterjemah melalui perbuatan. Islam itu satu cara hidup yang amat menitikberat soal-soal kebersihan.

Lihat sahaja apabila hendak bersolat, air memain peranan utama dalam menentukan sah atau tidak solat...wuduk harus sempurna. Jika ketiadaan air maka tayammum bersama debu tanah mengambil alih. 

Lihat pula ritual agama lain, adakah air menjadi permulaan peribadatan mereka? Tidak, tidak sama sekali. Mereka tidak perlu membasuh muka, kedua tangan, membasuh kepala juga kedua kaki...mereka tidak perlu itu semua.

Peranan air sebenarnya menjadi simbolik betapa Islam itu sinonim dengan kebersihan. Tetapi berapa ramai dari penganutnya yang mengamalkan kebersihan dalam kehidupan seharian?

Negara maju yang bukan Islam telah dengan yakin mempraktik disiplin yang tinggi dan pengamalan kebersihan yang telah sebati menjadi diri mereka.

Pengalamanku bersama mereka di negara maju dan negara dunia ketiga amat-amat ketara perbezaannya. Itu semua bertitik tolak dari mentaliti yang telah diselaras sedari kecil...ya, bermula hidup dari keluarga yang mendidik anak-anak mereka.

Di negara maju tidak kelihatan yang membuka cermin kereta untuk melontar sesuatu keluar. Tidak terlihat puntung-puntung rokok bersepah di bahu jalan. Tak nampak pula mereka yang selamba berkahak dan meludah di merata jalan.

Tetapi di negara dunia ketiga, lebih dari itu mereka tergamak...sehingga 'selamba derk' sahaja mereka membuka zip seluar untuk melepas hajat di tepi jalan!!!

Jika dilihat kembali kisah terpinggir yang kuceritakan di atas, anak-anak kecil yang duduk di bahagian belakang kereta secara tak langsung telah mendapat didikan yang setara atas kesilapan ibu mereka yang ditegur oleh ayahnya.

Tetapi cuba bayangkan perkara di sebaliknya pula yang berlaku, si suami tidak endah dengan kejadian tersebut. Jadilah sikap dan mentaliti itu dibawa arus ke generasi seterusnya...merai mentaliti dunia ketiga. Tak sudi aku melayan 'adat yang tiada beradab' itu.

Tuesday, 28 May 2013

Bahasa Tuhan

Manusia sering berasa resah, gelisah, merungut, membentak jua menggila jadinya apabila hadir sesuatu yang di luar jangkaan. Apatah lagi yang hadir itu bukan merupakan ujian ringan tetapi penuh rintangan menduga keimanan. Jika ditolak ke tepi musibah alam, ia boleh jadi dugaan muflis, dikejar along, rumah disita, nama disenaraihitam atas urusan kewangan, tanah tergadai, suami atau isteri berlaku curang, anak membawa masalah...eerrmmm seribu satu malam bercerita pasti tidak ketemu noktah, begitulah sebatinya masalah dan dunia.

Perlukah kita melatah sehingga habis kebahagiaan diratah masalah? Ujian yang berupa masalah pasti menimpa setiap yang bernama manusia. Jangan lupa, haiwan juga mempunyai masalah. Bezanya haiwan melepasi masalah itu dengan nafsu tanpa panduan akal fikiran.

Apa mesejnya di sini? Ya, kita sebagai manusia yang dicipta begitu mulia berbanding haiwan, pokok, angin, tanah, gunung-ganang, seharusnya menggunakan akal yang diberi bagi mencari jalan penyelesaian, tidak menurut nafsu.

Jika boleh diimbas-imbas kisah kehidupan yang berlaku di sekeliling kita. Membuat pinjaman along...kita tahu kesannya amat perit tetapi atas desakan hidup yang terlalu menekan, diketepikan rasa apa yang dipanggil menggantung diri sendiri.

Mengapa masih meneruskan niat bahaya itu? Yang bahaya bukan hanya diri sendiri tetapi melibatkan isteri, anak-anak dan kaum keluarga. Dahlah kaum keluarga terancam, jiwa pula merana jadinya kerana yang tidak bersalah turut sama terbabit. Bukankah kita telah dianugerahi akal untuk berfikir? Tiada beza nampaknya manusia dengan sang tikus yang ingin mendapatkan kepala ikan goreng di dalam perangkap yang dipasang. Tikus pula nampaknya lebih jujur kerana ia tidak dibekal akal untuk berfikir buruk baik sesuatu perkara yang dilakukannya.

Bagaimana pula dengan perceraian di awal perkahwinan atau yang lebih 'mencemar duli' bercerai di usia senja. Emosi mengatasi serasi...akal tolak ke tepi, buta fikir tentang anak-anak, pasangan yang telah banyak berkorban dan harta sepencarian. Apa beza manusia dengan lembu? Mengawan, dapat anak dan sijantan terus memburu kehidupan lain.

Sebenarnya segala musibah, dugaan, ujian dan apa sahaja yang memeritkan itu adalah BAHASA TUHAN. Anugerah Allah kepada makhluk ciptaanNYA yang dimuliakan...untuk manusia berfikir tentang kesilapan yang dilakukan agar mereka kembali semula ke landasan yang betul.

Nak jadi Firaun? Haman? Qarun? Boleh...Allah akan lemparkan kesenangan dan segala kemudahan nikmat dunia sehingga kita terleka untuk kembali bergantung kepadaNYA. Mahu ke jika itu yang berlaku?

Kita bukan Nabi Musa yang boleh berbicara dengan Tuhan di Bukit Tursina. Kita bukannya Nabi Muhammad yang juga berkomunikasi dengan Tuhannya di dalam peristiwa Isra' Mi'raj. Kita hanyalah manusia 'dungu' yang tak layak berdamping denganNYA! 

Justeru, bagaimana cara manusia 'dungu' menerima mesej dari Tuhannya? Ya...DIA beri rasa sakit, merana, fakir, muflis...tetapi jangan hilang pedoman!

Pernah seseorang berkongsi kisah benarnya denganku dan aku meminta izin darinya untuk memapar pengalaman berharga itu di ruangan blog ini.

Dia membeli rumah baru yang masih di dalam pembinaan. Setiap bulan dia harus memberi komitmen untuk membayar wang progres bertahap-tahap mengikut peratusan yang telah ditetapkan oleh pihak bank. Pembinaan rumah tidak mengikut tahap waktu yang ditetapkan, 2 tahun berlanjutan ke 4 tahun. Masih digagahinya untuk membayar mengikut jadual.

Rumah siap dan proses pembayaran 100% telah bermula. Bermulalah pula masalahnya kerana di waktu yang sama anak-anak di Universiti dan kolej perlukan pembiayaan ditambah lagi dengan kesihatan salah seorang anaknya yang perlukan rawatan lanjut di hospital pakar. 

Dia buntu...serasa mahu dilepaskan sahaja komitmen terhadap rumah. Meminjam along? Dia masih waras! Tunggakan bank sudah melewati bulan ketiga dan surat-surat amaran peguam terus menerjah. Dia pasrah...Apa yang dilakukannya? Ini yang aku teruja hendak bercerita...

Dia tidak melatah, itulah warisan iman yang memelihara dirinya. Dia tingkatkan amalan, tidak melepaskan peluang berjemaah di surau. Kebetulan di bulan puasa, dia bertarawih penuh dan bertadarus Quran. Ditambah banyak amalan sunat, berjaga malam dan banyak bersedekah dalam keadaan tidak berharta...setakat kemampuan sendiri.

Di kala itu jika pihak bank mahu melelong rumahnya, dia nekad akan berpindah ke rumah sewa...jika itu takdirNYA, dia redha.

DIA tidak buta dan tuli...DIA MAHA MELIHAT DAN MENDENGAR. DIA melihat hamba yang sedang sengsara tetapi di waktu yang sama bermunajat kepadaNYA. DIA mendengar keluhan sayu hamba itu yang memohon dipermudahkan segala urusan. DIA berkenan dengan sifat hamba itu yang tidak gelojoh dan menggunakan akal yang diberi untuk mendekatkan diri yang selama ini alpa. DIA TAHU BAHAWA HAMBA ITU MENGERTI APA ITU 'BAHASA TUHAN'!!! 

Allah buka pintu rezeki buatnya, tidak terjangka di waktu terdekat majikannya menghulurkan surat kenaikan pangkat. Bulan berikutnya dia menerima habuan merit kenaikan gaji.

Subhanallah...segalanya selesai dalam sekilas pandang. Pendapatannya lebih dari mencukupi untuk dia berkomitmen dengan bayaran ansuran rumah!

Tetapi dia tidak leka...segala amalan waktu susah dahulu dipraktikkan sehingga sekarang atas rasa terimakasih yang tidak terhingga ke atasNYA. Sebagai seorang hamba pula, dia bersyukur atas BAHASA TUHAN yang menyedarkannya dari lena.

Bahasa Tuhan tidak berlenggang lenggok, meliuk lentuk, berbunga seni...ia bahasa yang hanya boleh dilihat dari matahati yang jernih...dengarlah!!!



Saturday, 25 May 2013

Biasa atau Luarbiasa

Berjumpa sahabat lama, hangat berbual. Dari satu topik ke topik yang lain, dari arena sekolah menyambung ke aliran politik. Dari hal-hal keluarga terbang ke kisah pengalaman. Dari segelas teh tarik disambung ke tuangan Ali Cafe. Haaaiii...meriah.

"Zi, kau takde masalah ke kat tempat kerja? tiba-tiba soalan menerpa.

"Eerrmmm, kiamat dunia sudahnya jika takde masalah" jawabku berseloroh.

"Macam mana cara kau selesai masalah? 

"Aik...biar betul kau. Masalah apa ni, cuba kau cerita betul-betul, mana tahu aku boleh bantu". aku mula serius dengan situasi itu.

"Kat tempat kerjalah Zi. Kadang-kadang aku rasa macam tak adil kat aku". dia membetulkan duduknya dan aku tak berkelip mata menunggu lantunan suara seterusnya.

"Aku sebenarnya takde masalah dengan segala tugasan yang diberi, bukan nak memuji diri tapi aku ni jenis orang yang tekun buat kerja dan tak mampu nak menolak apa juga 'assignment' apatah lagi nak berkira".

"Tapi Zi kadang-kadang datang rasa tak puas hati, aku manusia biasa ada hati dan perasaan juga ada keinginan nak tingkatkan taraf hidup. Tu lah...makin hari makin aku rasa ini semua tak berbaloi. Majikan perah segala keringat aku tapi kedekut nak naikkan pangkat aku, adil ke tu Zi?"

Aku mula tersenyum. Senyum tidak untuk menyindirnya tetapi aku ada formula untuk menaikkan semula semangat juangnya yang mula goyah. Bagiku, ini masalah biasa...setiap yang bernama manusia yang bergelumang di alam pekerjaan akan menghadapi kerenah yang pelbagai.

"Zi, awat senyum? Nyesal pulak aku citer kat kau".

"Ok ok...aku nak citer la ni. Aku senyum sebab jarang aku tengok muka kau macam 'poyo' tu..hahaa".

"Mat, aku tak mahu pertikaikan keikhlasan kau bekerja. Semua orang pasti setuju segala kerja pasti ada upahnya dan itu juga merupakan tuntutan Islam. Memang normal kalau kau rasa segala yang kau buat mesti diberi ganjaran setimpal seperti pangkat yang sesuai dengan bebanan tugas". tazkirahku bermula.

"Mat, kalau kau rasa kau nak jadi macam orang biasa, silakan...kau boleh guna pakai konsep tu. Kau juga berhak untuk menolak beban kerja yang tidak setaraf dengan pangkat yang kau sandang. Kau boleh bahagia dengan tugas rutin, cukup bulan dapat gaji".

"Tu orang biasa Mat. Tapi kalau nak jadi orang yang luarbiasa, inilah peluang sebenarnya untuk kau tunjuk kebolehan dan bakat yang kau ada. Orang luarbiasa tak meminta tapi banyak memberi. Orang luarbiasa tak berkira tapi kredibilitinya banyak tertera. Orang luarbiasa bukan hanya nak gaji tetapi nak banyak pahala. Orang luarbiasa tak pernah mati berjuang walau ditekan, dihimpit juga diketepikan". Susun atur ayatku tampak lancar demi meyakinkan bahawa apa yang sedang ditempuhnya adalah proses untuk melonjakkan jatidirinya.

"Satu lagi Mat, mungkin ini caranya Allah ingin melangsaikan segala hutang piutangmu pada waktu kerja yang lampau. Iyelah, zaman muda kita kan banyak cilok sana cilok sini, masuk lewat balik awal, ambil mc tipu, tuntut kerja lebih masa secara membuta tuli, ambil barangan pejabat...aaahhh memacam lagilah benda tak elok yang kita pernah buat".

"Mat, aku nak kau bayangkan sekiranya segala macam perkara tak elok tu Allah tangguh pembalasannya di dalam kubur seterusnya dibawa ke mahsyar...mampu ke kita jawab nanti? Anggaplah apa yang kau buat sekarang ni untuk kau bayar segala hutang piutang kau dengan syarikat. Sebab tulah sekarang kau kena banyak memberi, beri segala khidmat bakti kau pada syarikat. Ingat Mat, syarikat juga ada hak untuk menuntut segala salah laku kakitangan. Mampu tak kau bayar dengan duit, mungkin tak terjangkau tapi kita mampu membayarnya dengan khidmat bakti tanpa berkira".

"Nasihat aku yang terakhir Mat, perkara ni takkan selesai dari sisi pandangan dunia...kau akan terus menagih dan ketagih dengan habuan, tiada istilah 'cukup' bagi dunia ini. Kita mesti berbalik kepada pandangan 'matahati', itu sahaja yang mampu membawa kita ke laluan selamat". 

"Buatlah pilihan Mat, jika kau rasa kau berhak tuntut apa yang kau inginkan...tak salah tetapi taraf kau tak lebih dari orang kebanyakan. Tetapi jika kau mampu memberi tanpa menghiraukan habuan dunia...itulah sifat para Nabi, Sahabat dan pejuang tulen. Bahagiannya menanti di sana!

Ahmad termenung panjang. Tak dapat aku menelah hatinya. Aku harap dia memilih jalan yang betul untuk meleraikan kekusutan dan jiwa kacaunya.

Tetapi yang nyata...jiwaku pula yang mula ber EVOLUSI!!!

Friday, 24 May 2013

Islam Yang Kelam

Maha Suci Allah yang mencipta manusia berbagai bangsa, keturunan, adat budaya yang berbeza antara kaum dan pelbagai perbezaan mewakili puak-puak tertentu. Tentu ada rahsia di sebalik segala penciptaan hebat itu. 

Boleh sahaja Allah cipta manusia dengan satu bangsa sahaja contohnya bangsa Arab di mana ramai para Nabi berasal dari bangsa itu. Kesannya dunia menjadi beku dengan perkara yang sama bakal ditempuh setiap hari. Bahasa Arab, makanan Arab, adat budaya Timur Tengah, rumah Arab yang sama bentuknya dan segala macam benda yang sinonim. Hilang ceria gemilang dunia.

Hikmah di sebalik semua itu adalah Allah suruh kita untuk berhubung dan bersosial dengan bangsa yang berlainan, terima keadaan mereka seadanya walau tidak secocok dengan adat resam keturunan sendiri. Digalakkan perkahwinan berlainan bangsa agar perkembangan zuriat tidak statik dan tertumpu kepada bangsa sendiri. Dan yang lebih penting, agama Islam seharusnya merentasi bangsa, keturunan, adat dan budaya. 

Islam bukan milik bangsa Arab, tidak juga Melayu, bukan Cina dan bukan juga milik bangsa India. Islam adalah universal tetapi tidak menafikan cara hidup sesuatu bangsa mahupun kaum setempat. Hiduplah dengan cara sendiri dan Islam hadir  memberi panduan di mana batasan yang sepatutnya dihadkan. 

Bangsa Melayu jangan berbangga dengan agama Islam yang mereka anuti. Jika agama yang syumul itu hanya menjadi ritual kepada sesuatu program, tahulah kita di mana letaknya tahap keimanan seseorang itu. Lebih cemerlang bagi mereka yang memeluk Islam atas hidayah Allah kerana sifat mencari dan ingin tahu itu mendesak si kafir untuk mengetahui apa itu Islam.




Berapa ramaikah bangsa Melayu mendesak hati  untuk mengetahui kesyumulan agama yang mereka anuti itu? Yang nyata banyak pula berlaku si Melayu mendengar ceramah mahupun syarahan dari bangsa Cina mahupun India Islam.

Definisi Melayu seperti yang digariskan oleh bangsa Melayu sendiri ialah seseorang yang beragama Islam, bahasa ibundanya adalah bahasa Melayu dan mengamalkan cara hidup Melayu.

Bangsa Melayu apabila melahirkan bayi, secara automatis akan menjadi Islam...Alhamdulillah. Tetapi risikonya besar kerana bangsa ini sudah tidak mahu lagi menggali ilmu Islam. Apa yang diajar di waktu kanak-kanak akan dibawa hingga kemati. Jika wuduk dan solat secara praktisnya diamalkan sedari kecil, maka cara berwuduk dan solat zaman kanak-kanak itu yang diamalkan sampai ke tua!

Bayangkan bacaan fatihah yang merupakan rukun  yang menentukan sah atau tertolak solat, dipelajari tonasinya sewaktu kanak-kanak. Adakah gaya bacaan yang sama tidak perlu kepada pembelajaran tajwid dan bentuk hukum hakam serta idgham bagi menghalalkan bacaan agar diterima Allah solatnya? 

Di sinilah terletak risiko umat Islam yang lahir dari generasi dan legasi. Berbangga dengan agama Islam tetapi memekik memboikot barangan Cina...yang bakal menyalakan api perkauman. Mengaku penganut agama langit tetapi menyebar video lucah di arena politik bagi menjatuhkan seteru. Mengimarah Maulidurrasul, di waktu yang sama merancang rampasan kuasa kerajaan dan berhimpun menyatakan bantahan sehingga menyukarkan kehidupan masyarakat sekeliling.

Jangan berhenti menggali ilmu syariat terutama bagi memantapkan solat. Bermula solat yang mantap menatijahkan kehidupan yang diredhai Allah. Apabila Allah redha, penduduk langit akan turut mendoakan insan tersebut. Jadilah kehidupannya teratur dengan rasa kasih sayang yang melimpah ruah terhadap siapa jua. Tiada lagi timbul soal bangsa dan keturunan. Semuanya dirasa sama di sisiNYA kecuali yang bertakwa.

Benarlah kata-kata Hukamak...Islam terhijab oleh kelakuan umatnya. Kelam jadinya Islam itu.

Wednesday, 22 May 2013

Ijtihad Satu Keperluan


Ijtihad...apa itu ijtihad? Dalam bahasa mudah, ijtihad adalah suatu keputusan yang dibuat oleh seseorang yang pakar dan arif dalam agama. Keputusannya merupakan penyelesaian kepada sesuatu permasalahan setelah dia menggunakan segala kepakaran yang ada ke tahap paling maksimum. 

Dia mestilah boleh menguasai bahasa arab dengan baik, mahir dalam mentafsir ayat Quran, tahu asbabunnuzul kepada turunnya sesuatu ayat, tahu ayat nasakh dan mansukh, pakar dalam hadis dan banyak lagi kriteria lain. Ini menunjukkan bahawa bukan semua ahli agama boleh berijtihad.

Mengapa perlu berijtihad? Bilamana timbul sesuatu masalah dalam agama, rujukan pertama adalah al Quran diikuti Hadis seterusnya ijma' ulama (majoriti ulama' bersepakat) dan juga Qiyas (kiasan merujuk Quran dan Hadis). Tetapi jika keempat-empat rujukan itu masih tiada tanda-tanda kepada penyelesaian masalah, di situlah mula ulama' berijtihad.

Di zaman Rasulullah SAW, tiada kaedah ijtihad kerana para sahabat akan terus merujuk kepada Baginda Rasulullah. Apabila Baginda wafat, para sahabat yang bertaraf ulama' akan mengambil konsep ijma' ulama bilamana tidak terjumpa permasalahan di dalam al Quran dan Hadis.

Contoh ijtihad di zaman sekarang...kewujudan bank susu untuk bayi. Tujuan diwujudkan bank susu adalah untuk mengatasi masalah kekurangan susu untuk bayi-bayi terutama kepada bayi-bayi yang ditinggalkan oleh ibunya samada bekerja harian, kerja 'outstation' ataupun bayi itu ditinggalkan terus di rumah-rumah pengasuh. Ibu-ibu yang baru lepas bersalin dan mempunyai kandungan susu badan yang berlebihan digalakkan untuk menyumbang stok susu di bank susu. Ada juga wanita yang belum berkahwin memakan pil-pil untuk merangsang aliran susu untuk disumbangkan ke bank susu ini.

Masalahnya, bolehkah bayi-bayi Islam mengambil bahagian di dalam menerima susu-susu ibu yang bercampur-campur sifatnya? Stok-stok susu yang disimpan, tiada pengenalan diri siapa pendermanya seperti juga stok-stok darah yang datang dari pelbagai bangsa.

Bila merujuk Hadis, Rasulullah sendiri ditinggalkan kepada seorang ibu susu yang diupah di luar kota Mekah. Keadaan itu diterima tetapi syariat menyatakan setelah bayi yang menumpang susu kepada ibu lain sehingga 3 kali kenyang maka bayi itu bertaraf ibu susuan dan diharamkan berkahwin dengan anak kepada ibu yang menderma susu itu.

Bila dikaitkan dengan bank susu, Ulama' mengeluarkan pelbagai pandangan dan pendapat tentang keharusan bayi Islam mengambil bahagian dalam aktiviti bank susu itu. Genetik penderma yang tidak diketahui boleh mengharu birukan keturunan bayi itu nanti kerana mungkin boleh berlaku taraf ibu susuan yang mana diharamkan bayi itu apabila telah dewasa berkahwin dengan anak ibu susuan. Mungkin boleh berlaku dua orang bayi lelaki dan perempuan yang meminum susu dari penderma yang sama...mereka haram berkahwin! Tetapi siapa yang boleh merungkai kronologi penderma susu itu?

Ada pula Ulama' yang mengharuskan dengan berhujah bahawa jika keadaan memerlukan, maka dibolehkan bayi Islam mendapatkan stok susu di bank susu. Ini bagi mengelak dari berlaku kematian kepada bayi-bayi yang tidak mendapat khasiat yang secukupnya dari susu ibu.

Ulama' yang berijtihad tidak semesti membuat keputusan yang betul kerana mereka bukan bertaraf Nabi yang 'maksum'. Tetapi Allah beri keistimewaan kepada insan-insan ini. Sekiranya mereka melakukan kesilapan dalam berijtihad, tetap mereka mendapat 1 pahala. Sekiranya keputusan mereka betul, 2 pahala bakal dianugerah.

Hukum yang dikeluarkan secara ijtihad tidak bersifat kekal sepertimana hukum wajib solat, puasa, berzakat dan sebagainya. Ini kerana keperluan berijtihad adalah mengikut peredaran zaman. Contoh diberi jika di zaman 70an Ulama' berijtihad bahawa merokok hanyalah makruh hukumnya (atas maklumat yang diterima bahawa tiada bahan kandungan bahaya di dalam rokok itu). Ulama' di zaman sekarang boleh berijtihad untuk mengharamkan rokok kerana kandungan bahan-bahan beracun yang ketara dan juga telah terbukti kesan yang boleh memudaratkan kesihatan atas maklumat yang diberi oleh para doktor.

Islam tidak statik, ia berkembang selari dengan perkembangan teknologi terkini. Justeru para Ulama' digalak untuk terus berijtihad demi merungkai segala permasalahan yang tidak terdapat di dalam al Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas.

Semoga perkongsian ilmu ringkas ini boleh mencambahkan lagi ilmu-ilmu lain yang tidak terbatas luasnya.

Jazakum Allahu Khair

Saturday, 18 May 2013

Hikayat Penuh Ranjau

Dia lahir di kampung, serba serbinya kurang. Menambah derita bila ayah pergi sewaktu usia masih mentah. Sempat melanjutkan pelajaran di sekolah rendah...masih boleh menulis dan membaca.

Selebih, kehidupannya banyak berkisar menjaga anak-anak buah yang sedang membesar. Zaman remajanya terbantut, tiada apa yang menghiburkan cuma apabila berkumpul bersama sepupu sepapat, nampak ceria sedikit dengan usikan-usikan nakal. 

Seawal umur 15 tahun dia telah disunting oleh orang bandar. Kebetulan berlaku sewaktu dia mengikuti ibunya ke bandar dan menetap di sana selama beberapa hari. Jiran bujang belakang rumah bertanya secara bergurau kepada ibunya lantas gurauan menjadi kenyataan.

Dia ke bandar Kuala Lumpur mengikut suami yang bertugas sebagai anggota polis. Ditinggalkan dunia kampung untuk permulaan hidup bersama keluarga barunya.

Tahun ke tahun anak semakin bertambah seramai 7 orang. Sebagai anak kampung, dia terdidik dengan menerima apa sahaja yang diberi dan disediakan oleh suami. Tiada meminta-minta pada yang tiada apatah lagi yang kurang. Mungkin itu juga rahsia rumahtangganya kekal hingga bercerai mati.

Dia membantu suami dengan jualan kuih muih yang ditumpang di gerai jualan. Dia belajar menjahit dan hasilnya banyak baju anak-anak adalah hasil keluaran jahitan tangannya...jimat belanja.

Sungguh, walau hidup serba serbinya amat sederhana tetapi segala makan pakai cukup belaka. Anak-anak merasa semua permainan seperti kasut roda, basikal, kereta kawalan jauh dan sebagainya. Bila raya tiba, mercun merupakan satu kemestian untuk anak-anak. Ceria keluarga itu.

Dulu dia bergelut derita untuk memastikan anak-anak membesar sempurna. Dulu dia tidak merasa memegang sejumlah wang untuk keperluan diri sendiri...semuanya untuk mulut anak-anak. Dulu dia tiada rehat yang cukup...bangun seawal pagi, rebah badan di katil lewat malam. Dulu istananya hanyalah rumah sekangkang kera berkongsi 9 beranak. Dulu sakit peningnya hanyalah berteman panadol..tiada peluang mendapat rawatan sempurna di klinik. Dulu...........

ALLAH adil dan janjiNYA benar kepada yang sabar dan redha dengan segala ketentuanNYA. Hari-hari berlalu menyaksikan anak-anak yang sudah berumahtangga membina kehidupan sendiri.

Dulu dia tiada rehat yang cukup..sekarang dia enak beristirehat, lebihan wang sentiasa di tangan ..apa yang terhajat di hati, semua dinikmati. Kediamannya sekarang lebih dari selesa yang tidak pernah termimpi di benaknya. Sakit peningnya ditemani ubat-ubatan selesa dan ber'harga'. Dia jadi pemurah atas lebihan rezeki kurniaan Allah kepadanya. 

Ya...dia sememangnya layak untuk kehidupan selesa ini kerana dia arif dan kenal erti peritnya hidup. Sekarang giliran anak-anaknya yang bergelumang dengan ranjau kehidupan. Hati anak dipandu bila teringat yang ibu mereka dahulu tak sepicing pun merungut dengan segala macam kerenah dunia. 

Ya...ranjau itu membuat hatinya cekal tanpa goyah kerana dia tahu ALLAH bersama orang-orang yang sabar.

Ya...dia berpegang kepada ayat Quran yang bermaksud, " Mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar".

Bila diperhati perjalanan hidupnya, hati terkesan kerana konsep 'rezeki sedikit tetapi berkat' benar-benar memayungi keluarganya. Walau suaminya anggota polis tetapi tiada sesuap nasi datang dari hasil rasuah malahan keluarga dididik keras dengan disiplin dan integriti diri.

Terimakasih kepada keluarga itu...HIKAYAT PENUH RANJAU yang ditempuhnya menjadi pencetus semangat kepada semua yang melihat. Tidak perlu menjaja dan mempromosi diri...mereka mengakui dalam diam.

Terimakasih sekali lagi.


Wednesday, 15 May 2013

Meng'Angkasa' Etika Diri

Siapa kita di mata manusia? Ya..manusia banyak kerenah, banyak ragamnya. Tak kena gaya, tak kena layanan...mereka kecil hati, tarik muka dan merajuk. Haaaiii...inilah namanya manusia. Hati dan perasaan itu banyak warna-warni pelangi...pelbagai.

Kadangkala terfikir di benak betapa bebasnya menjadi haiwan melata, burung, serangga, tumbuhan, mergastua yang tak perlu memikir hati dan perasaan manusia. Hati dimanipulasi kalut dan kekecamukan yang tak pernah padam. 

Lantaran itu banyak ayat-ayat al Quran juga Hadis yang menekankan peri penting kita menjaga akhlak sesama manusia. Rasulullah SAW lahir dengan pakej lengkap...untuk memberi panduan hidup berteraskan kehidupan yang syumul. Lengkap dengan keperibadian dan akhlak terpuji. Baginda telah melonjakkan satu REVOLUSI JIWA yang diakui oleh bukan sahaja para pendakwah Islam malah kehebatannya melangkaui batas sempadan bangsa dan agama.

Berbalik kepada soal kerenah manusia, lebih molek rasanya jika peribadi Rasulullah dijadikan acuan. Ya, acuan yang pasti tidak akan menimbulkan sebarang kerenah jelik dan menjelikkan, keji jua mengejikan, buruk lagi memburukkan situasi tenang. 

Aku rindu peribadi Kekasih Allah itu...teramat rindu. Aku ingin kehadiranku disenangi bukan dicurangi. Aku ingin perbualan dan perbincangan yang penuh berhemah bukan membawa semak. Aku damba mesyuarat yang penuh etika dan adab bukan secara biadab. Semua yang disenangi itu ada dalam khazanah Hadis Rasulullah SAW. Tak terbendung rasa rindu pada akhlakmu ya Habibullah..akhlak yang hampir tidak kutemui lagi lewat pengembaraan ini.

Apa yang terhidang di hadapan mata adalah kata-kata promosi diri, bercakap sesedap rasa, melayan gajet mewah di kala mesyuarat berlangsung. Aaahhh....mana etika dan peribadi Islam?

Pernah aku menghadiri mesyuarat...seseorang menjawab panggilan telefon mudah alihnya dengan bercakap sama nada dengan pengerusi. Tanpa rasa malu, tanpa direndahkan tonasi suara, tanpa menundukkan kepala ke arah lain juga tanpa melangkah keluar dari majlis mesyuarat...bercakap seenaknya sehingga mesyuarat terhenti seketika memberi laluan untuk dia menghabiskan perbualan!!! Orang jenis apa ini?

Ada pula kedapatan seseorang asyik menghantar dan membalas sms di kala mesyuarat berlangsung mahupun ketika aku sedang memberi latihan...tiada konsentrasi. Hendak ditegur, dah dewasa. Kalau ditegur juga pasti mereka terasa. Sabaaarrr je lah.

Rujuk Hadis Rasulullah, bagaimana hormatnya Baginda kepada yang bercakap. Baginda akan mengarahkan seluruh tubuh badannya kepada yang bercakap dan mendengar penuh khusyuk. Ini tidak...kita pula yang harus menghentikan mesyuarat untuk mendengar perbualan telefonnya. Panas telinga aku melihat kerenah itu!

Kajian menunjukkan, 'sikap' mempengaruhi 93% untuk kita menuju kejayaan. Betapa hebat dan tinggi pencapaian akademiknya, jawatan dan pangkat...jika dia memandang remeh etika dan disiplin, dia hanya menanti kejatuhan akhlaknya di mata masyarakat.

Semua orang tahu dan sedar bahawa agama ISLAM mencakupi seluruh kehidupan manusiawi. Jangankan beretika dengan manusia, dengan haiwan mahupun tumbuhan juga ada etikanya.

Ya, manusia sekarang sudah acapkali menuju ke angkasa termasuk angkasawan Malaysia. Alhamdulillah memang Allah suruh kita kaji sebanyak mungkin segala ciptaanNYA agar boleh diambil iktibar dan menambah keimanan.

Apa guna jika angkasa kita gapai dan merobek segala rahsia tetapi kita memandang enteng  akhlak, disiplin, etika yang beraneka. Agaknya jika menuju ke angkasa bisa ketemu makhluk selain manusia, mahunya dibawa balik ke bumi untuk dijadikan bahan ujikaji. Kaji sifat, sikap, habitat, dan segala macam yang ada pada makhluk yang baru ditemui itu.

Hebat manusia itu, tetapi jiwa manusia di bumi jadi bahan tinggalan sejarah...rempuh segala yang bisa dirempuh. Usah peduli jiwa dan perasaan mereka. Jangan hirau tentang etika kerana yang penting hajat hati tercapai.

Dengar hebat bunyinya...MENG 'ANGKASA' ETIKA DIRI tetapi ia hanya menjadi retorik yang perit bila mana yang empunya diri terus menyendiri dengan cara sendiri yang mengkesampingkan etika diri.

Sudahnya aku sendiri yang terpinggir dengan pelbagai etika. Aku ingin ke angkasa tetapi ia terlalu sayup dari pandangan mata. Jadi...aku hanya mampu meng'angkasa'kan etika diri selagi termampu kerana aku merindui seseorang yang bergelar HABIBULLAH...RASULULLAH SAW.


Saturday, 4 May 2013

"PERFECTIONIST"



PERFECTIONIST - KESEMPURNAAN. 

Mengharap kepada kesempurnaan ibarat menempah petaka yang mendatang. Mana ada makhluk yang sempurna, semuanya dicipta dengan beberapa kelebihan dan diimbangi kekurangan. Jika Allah cipta sesuatu yang bersifat sempurna maka sudah tentu ia akan menyaingi sifat Allah sendiri iaitu Yang Maha Sempurna!

Banyak hikmah mengapa manusia tidak dicipta dalam kesempurnaan. Cuba fikir-fikirkan senarai di bawah:-

Jika segalanya sempurna maka manusia sudah tentu bersikap individualistik. mereka tidak memerlukan yang lain atas kapasiti mereka yang tahu serba serbi. Tiada lagi perundingan, mesyuarat, pendapat dan pandangan yang lain. Segalanya boleh diselesaikan sendirian. Berpecah belah manusia tanpa jemaah.

Jika manusia sempurna, tiada lagi ketua jabatan, pegawai kanan, orang bawahan dan penghantar surat dalam sebuah organisasi. Semuanya bersaing untuk memohon jawatan ketua. Jika manusia sempurna, tiada lagi pemotong rumput, penyapu dan pengangkut sampah..semua ingin menjadi Ketua Majlis Perbandaran. 

Tiada pelayan restoran dan tukang masak..semua ingin menjadi taukeh restoran. Tiada buruh kasar dan pelukis pelan..semua ingin menjadi kontraktor dan jurutera. Tiada lagi pencuci tandas..semua ingin mendapat kontrak menyediakan kemudahan awam. Tiada lagi peniaga pasar pagi dan malam, semua ingin menjadi pembeli...alahaaaaiiiii, usah dibayangkan kehidupan kita di waktu itu...banyak kerja-kerja yang dipandang remeh tertangguh dan seisi dunia bakal lumpuh!

Di situlah terletak hikmah mengapa Allah cipta kelebihan dan kekurangan iaitu untuk kita saling melengkapi antara satu sama lain. Ungkapan bijak pandai..."Kita tidak dilahirkan bodoh tetapi dengan kebijaksanaan yang berbeza". Jangan anggap mereka yang tidak melanjutkan pelajaran di Universiti itu bodoh dan dungu...bijaknya mungkin dari segi lain. 

Jangan rasa kita sebagai ketua jabatan lebih bijak dari orang bawahan...banyak perkara yang boleh dikongsi berdasar pengalaman mereka yang lama bekerja. Jangan pandang remeh dengan tugasan 'cleaner' di pejabat, mereka mungkin bijak tetapi tidak dapat meneruskan pembelajaran atas desakan hidup. Aku sendiri pernah beramah mesra dengan bangla sipencuci tandas di syarikat. Dia lulusan IT bertaraf 'programmer' tetapi tidak banyak peluang pekerjaan yang boleh ditawarkan di negaranya.

Berbalik kepada elemen 'perfectionist' tadi, di alam persekolahan mungkin kita pernah berpengalaman melihat cara seseorang yang inginkan segala yang sempurna dalam hidupnya. Dia cuba sedaya upaya untuk mendapat markah terbaik dan akan pastikan tiada sesiapa yang melangkaui pencapaiannya. Markahnya 90% ke atas sudah melayakkan dia dikalungkan dengan anugerah "Pelajar Cemerlang". Apa berlaku jika kecemerlangannya dipintas dan dia berada di tempat kedua atau ketiga? Bakal berlaku 'down syndrome' ke atas dirinya. Susah untuk diterima hakikat bahawa tempat pertama bukan miliknya lagi. Kecewa, marah, irihati dan menyalahkan takdir di atas apa yang berlaku.

Ini yang perlu dibendung...kesempurnaan bukan milik manusia, kapasiti manusia ada naik dan turunnya. Juara tidak selamanya berada di atas kerana ramai lagi yang kepingin gelaran itu. Oleh itu bersedialah untuk berada di tempat kedua mahupun ketiga. Ibubapa berperanan besar untuk misi penerangan ini dan jangan sesekali mengasak anak-anak dengan segala yang sempurna. Apabila 'kesempurnaan' itu telah sebati dalam jiwa, ditakuti anak-anak kita sukar untuk menerima hakikat dirinya ditewaskan oleh yang lain dan 'down syndrome' bakal mengambil tempat...impaknya besar! Keyakinan diri mula menurun, rasa bersalah yang amat sangat kerana tidak dapat memenuhi kemahuan ibubapa, menjadi murung, tewas menyerap tekanan dan sindiran kawan-kawan, bersifat tidak redha dengan ketentuanNYA.

Rasulullah maksum tetapi tidak sempurna. Pernah berlaku Allah menegur Baginda kerana tidak menghiraukan seorang buta yang bertanya tentang Islam. Keadaan itu berlaku kerana Baginda juga sedang berhadapan dengan golongan elit Quraisy yang kuat pengaruhnya. Jika mereka dapat diIslamkan memang banyak boleh membantu perkembangan Islam. Di situ teguran Allah pada yang tidak sempurna...RasulNYA.

Jadi siapa kita untuk membentuk kesempurnaan. Rezeki Allah melimpah ruah kepada yang berusaha. Jika kita gagal sekarang bukan bererti kita gagal dalam hidup. Kegagalan itu merupakan petanda kepada kecemerlangan yang tertangguh. 

Teruskan berusaha dan jangan gerun jika gagal. Terima hakikat bahawa kita bisa gagal, tewas dan tersungkur. Letak matlamat untuk menghasilkan yang terbaik...yang lain biar Allah uruskan.

Definisi gagal sebenarnya terpakai kepada mereka yang tersungkur tetapi tidak bingkas bangun, hanya menyalahkan keadaan jalan yang berliku dan berduri.

Kesimpulannya...imbangi 'ketidaksempurnaan' dengan 'usaha'. Dalam keadaan 'sempurna' bukan milik kita, kita teruskan berusaha untuk menuju cemerlang.

Oohh..satu lagi, jangan hanya berusaha untuk berjaya di dunia sahaja. Bagaimana dengan alam yang kekal itu? Itu adalah misi 'wajib'. Mahu atau tidak, suka atau tidak...kita tetap akan tempuh alam itu.

Cemerlang di dunia cemerlang di akhirat!